Sabtu, 26 Disember 2009

Siri 1: Sebelum Terbang Tinggi



Prinsip At-Ta`awun, saling membantu

“Dahulu, boleh dikatakan saya tidak punya prinsip hidup yang jelas. Kini berbeza”, tersenyum saya membuat pernyataan. Sekadar rasa puas dan bahagia. Walaupun belum sempurna, sekurang-kurangnya, diri ini berubah dalam satu hal selepas lima tahun.

Hanya kami berdua di dalam bilik mesyuarat. Borak-borak sambil menantikan yang lain tiba.

“Jadi, apa prinsip hidup kamu sekarang?”, soalnya.

“Wah, bijak! Selalunya, wanita lebih gemar menyambung perbualan dengan bercerita tentang dirinya”, spontan pujian diberikan. Inilah sikapnya yang menyenangkan saya. Sekalipun orangnya pendiam, tetapi bijak memilih kata-kata. Bijak pula menyampaikannya. Paling terkesan, beliau berkata-kata apabila perlu sahaja. Inspirasi ku!

Wanita, lazimnya apabila berbicara, masing-masing berebut untuk menceritakan kisah diri sendiri. Jarang mendengar, apatah lagi bertanya untuk memahami. Apabila lebih daripada dua orang wanita duduk berbicara, kadangkala sukar untuk menentukan siapa yang mendengar siapa. Semuanya membuka mulut bercerita!

“Sememangnya saya belum sempurna. Jauh dari kesempurnaan. Cumanya, saya mendapati diri ini sudah mengamalkan beberapa prinsip dengan baik. Sudah menjadi habit kata orang”, saya mengambil masa untuk menyusun ayat. Itulah pertama kali saya ditanya tentang prinsip hidup secara khusus.


“Baiklah, prinsip pertama, saya perlu hidup untuk memberi sebanyak-banyaknya”, terasa yakin tatkala melafazkan. Inilah antara perkara yang saya telah dan sedang usahakan, sehinggakan wujud perasaan tidak senang jika berdiam diri tidak melakukan manfaat buat orang lain.

“Prinsip kedua pula, jangan terlalu cepat menyatakan `tidak` andai ada orang meminta tolong. Cuba sedaya upaya untuk membantu. Andai diri dimanipulasi, serahkan pada Allah”, saya menambah.

“Apa pendapat kamu andai saya nyatakan prinsip hidup saya ialah Islam?”, soalnya lagi. Soalan yang bijak.

“Benar.........tetapi terlalu umum”.

Islam Di Luar Negara

“Kamu perlu punya prinsip apabila belajar di luar negara kelak. Kemudian, berpegang teguhlah pada prinsip tersebut”. Begitulah lebih kurang kata-kata Dr. Hamdi semasa program persediaan kali kedua yang saya hadiri.

“Semasa di sana, salah satu prinsip yang saya pegang ialah tidak akan ponteng kelas. Sesibuk mana pun, selewat mana pun, saya tetap akan hadir”, tegasnya lagi semasa berceramah. Seperti selalu, Dr. Hamdi bercerita, jauh untuk membangga diri, sekadar pengalaman untuk dikongsi.

Kata-kata beliau menarik perhatian saya. Tentang prinsip. Ketika itu, pelbagai persoalan timbul dibenak fikiran. Persoalan yang tidak saya lontarkan. Persoalan yang tersimpan. Entahlah, tidak tahu bagaimana untuk menghuraikannya menjadi soalan. Saya gemar mendengar dan menjadi peserta yang pendiam ketika ceramah (alasan). Kini, saya memahami, persoalan ini terjawab apabila saya melaluinya sendiri.

Ketika beliau menyatakan kami perlu punya prinsip serta berpegang teguh dengannya semasa di luar negara, hati saya tertanya-tanya, apakah tidak cukup dengan Islam yang dianut sebagai agama?

Ketika beliau memberikan contoh prinsip tidak memonteng kelas, saya kehairanan, apakah sukar untuk memenuhi jadual kedatangan?

Elok kiranya saya menghuraikan persoalan kedua terlebih dahulu.

Berdasarkan pengalaman peribadi di luar negara, ternyata untuk istiqamah ke kelas memerlukan azam yang tinggi. Pertamanya ialah cabaran cuaca ketika musim sejuk. Ramai yang merasakan lebih selesa untuk tetap di rumah daripada berjalan meredah kesejukan untuk ke kuliah selama dua jam semata-mata. Lebih enak membaca nota diatas katil berselubung selimut. Kurang sedikit rasa bersalah! Lebih mencabar lagi apabila berseorangan ke sana ke sini. Satu-satunya pelajar Malaysia di kuliah.

Selain itu, kedatangan ke kuliah tidak dicatatkan. Kehidupan di universiti tidak seperti di sekolah menengah. Tiada siapa yang akan mengawas melainkan diri sendiri. Buat para pelajar yang aktif dengan aktiviti dakwah pula, kadangkala tersilap meletakkan keutamaan antara kelas dan aktiviti luar.

Paling menyedihkan ialah alasan tidak ke kelas kerana tidak memahami apa yang dinyatakan semasa kuliah kerana accent English yang sukar difahami. Sekalipun hakikatnya memang wujud kuliah yang bosan, sukar difahami dan bermacam-macam lagi, apakah wajar?

Justeru, bukan calang-calang pelajar, berjaya hadir ke semua kelas melainkan alasan yang cukup konkrit. MasyaAllah, hebat!

Islam Pada Prinsip atau Nama?

“Andai ke luar negara membawa Islam hanya sebagai nama agama, sukar...”. Begitulah lebih kurang perkongsian saya dengan seorang pelajar yang bakal ke luar negara pula.

“Islam hanya pada nama? Apakah selama ini saya tidak mengamalkan Islam yang sebenar?”, soalnya pantas. Sedikit provokatif. I like! Asalkan berlapang dada. Sedikit desakan, baik untuk mencambahkan pemikiran.

“Kita dilahirkan sebagai Islam. Membesar dalam masyarakat Islam. Kadangkala, apa yang diamalkan atas nama Islam telah menjadi rutin. Menjadi budaya ataupun adat kebiasaan”, saya cuba menghuraikan.

“Apa bezanya ketika di luar negara kelak?”, soalnya bijak. Tanda beliau mendengar dan berfikir. Amaran baik agar saya pula tidak syok sendiri `berceramah`.

“Ketika di luar negara, amalan Islam yang biasa-biasa akan jadi `luar biasa`. Sebagai contoh, di Malaysia, kita sememangnya menunaikan solat fardu lima waktu. Cumanya, ketika di luar negara, prinsip untuk tidak meninggalkan solat akan diuji. Solat secara `luar biasa`”.

“Maksud akak?”

“Begini. Ketika di luar negara, setiap pagi sebelum keluar dari rumah, kita perlu mengambil tahu ataupun mencatat waktu solat kerana perbezaan waktu cukup besar antara satu hari dengan hari yang lain. Tiada Azan yang akan berkumandang. Selain itu, boleh terjadi, waktu solat adalah di tengah-tengah waktu kuliah’, saya menerangkan situasi.

“Selain soal waktu, pakaian, wudhu` serta tempat solat juga perlu difikirkan. Masjid amat jarang didapati di bandar. Di universiti memanglah ada. Cuma masalah jarak dan masa”. Dirinya mengangguk-angguk. Seakan-akan dapat membayangkan keadaan Muslim sebagai kumpulan minoriti.

“Justeru, ketika keluar rumah, minda sudah tersedia untuk berpakaian menutup aurat dengan sempurna. Pakaian inilah yang akan dibawa terus untuk bersolat. Terutama sekali buat akak yang malas membawa set telekung."

"Diri pula akan dipastikan sudah berwudhu dengan sempurna dan mengenakan khuf sebelum meninggalkan rumah. Botol kecil berisi air akan sentiasa dibawa di dalam beg sebagai persediaan andai wudhu terbatal. Penyelamat apabila berhadapan situasi sukar mencari air (selain tayamum). Terakhir sekali ialah memilih tempat untuk bersolat berbekalkan kompas penunjuk arah kiblat di tangan. Samada di tempat tertutup atau terbuka. Samada di fitting room ataupun di tempat meletakkan kereta!”, saya menyimpulkan contoh.

“Andai suasana yang cukup selesa di sini pun, ramai yang mengabaikan solat, apatah lagi di sana. Menuntut solat yang `luar biasa`! Hanya yang punya prinsip serta berpegang teguh dengannya akan berjaya”. Bersemangat dia menyatakan. Menunjukkan dirinya memahami tentang isu utama yang dibincangkan, tentang prinsip, bukannya kaedah solat.

“Benar sekali. Bahkan, kita akan berfikir kembali mengapa kita bersolat. Selalu sahaja soalan-soalan diajukan oleh teman-teman sekuliah yang berminat untuk mengetahui tentang Islam. Lebih penting lagi, kita akan menyoal diri sendiri. Mengapa aku bersolat selama ini?”, saya menambah. Sekadar mengaitkan bagaimana seseorang yang jelas dengan prinsip beragama menjauhkan diri daripada gejala rutin dan budaya.

“Rupanya selama ini saya sibukkan diri dengan perkara yang remeh-temeh dalam persediaan ke luar negara. Soal cuaca, pakaian musim sejuk, rempah ratus. Sedangkan soal mempunyai prinsip serta berpegang teguh dengannya ketika di luar negara kelak tidak pernah saya fikirkan”, ujarnya lemah.

“Sekurang-kurangnya masih sempat. Perkara remeh-temeh perlu diambil tahu dan diuruskan juga, cumanya, jangan sampai terlupa yang lebih utama. It is better late than never!” kata-kata positif daripada saya.

Saya juga pernah berada ditempatnya. Anak muda yang mencari-cari sebelum terbang ke oversea. Sebelum terbang tinggi! Berpegang teguh dengan prinsip melalui perbuatan. Kelak, prinsip akan berbicara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan