Khamis, 26 Mei 2011

Hati Manusia Beriman

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (Surah Al-Anfal 8: Ayat 2)

Orang yang beriman akan sentiasa bersama orang yang benar-benar mentaati Allah. Mereka tidak akan suka untuk bersama dengan golongan yang menderhakai Allah, apatah lagi yang merendah-rendahkan agama. Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar". (Surah at-Taubah: 119)

Mereka tidak akan bersama golongan yang bid'ah yang berfahaman dengan ideologi-ideologi baru atau ajaran sesat, apatah yang menghina agama mereka. Firman Allah SWT: "Dan sungguh Allah telah turunkan kepada kamu di dalam Al Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diengkari dan dipermain-mainkan, maka janganlah kamu duduk bersama mereka, sehingga mereka bercakap perkara yang lain. Sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam (neraka) Jahannam". (Surah an-Nisa': 140)

Mereka juga tidak akan bersama dengan golongan yang jelas-jelas melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT. Jabir r.a. menyatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ، فَلاَ يَجْلِسْ عَلَى مَائِدَةٍ يُدَارُ عَلَيْهَا الْخَمْرُ.

Ertinya: "Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang dihidangkan arak". Hadis riwayat Tirmizi dan al-Hakim, dan beliau menganggapnya sohih mengikut syarat Imam Muslim dan diakui az-Zahabi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan