Assalamualaikum Warahmatullah.
PENGENALAN
Beberapa hari yang lalu saya telah berkesempatan untuk bersembang-sembang dengan seorang sahabat lama saya melalui Yahoo Massenger. Pelbagai perkara diperkatakan oleh kami. Antara perkara yang menjadi topik hangat perbincangan kami ini adalah isu yang berkaitan dengan masalah sosial remaja masa kini dan bahaya pengaruh fahaman Wahabi yang melanda mahasiswa dan mahasiswi di Institut-Institut Pengajian Tinggi Awan / Swasta di Malaysia pada waktu ini. Masalah seperti ini begitu membimbangkan masyarakat Islam yang begitu menaruh harapan tinggi kepada muda-mudi ini untuk mengemudi kemajuan negara pada masa hadapan.
Dalam perbincangan itu juga sempat kami perkatakan mengenai keadaan semasa politik tanahair. Isu yang hangat diperkatakan pada ketika ini adalah berkenaan: Adakah boleh orang bukan Islam membaca ayat-ayat al-Quran al-Karim? Perkara ini mula timbul menjadi bahan panas media massa setelah seorang Ahli Parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis bernama Y.B. Nga Kor Ming dari Pakatan Rakyat (PR) telah membaca ayat al-Quran al-Karim dalam ceramahnya di Bukit Gantang. Perkara ini terus menjadi panas setelah keluar satu kenyataan dari Mufti Kerajaan Negeri Perak iaitu S.S. Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Zakaria yang mempersoalkan tindakan Y.B. Nga Kor Ming tersebut.
Beberapa pihak dari NGO turut serta membuat laporan polis terhadap tindakan Y.B. Nga Kor Ming ini. Mereka mendakwa Y.B. Nga Kor Ming telah mempersendakan al-Quran al-Karim untuk tujuan politik semata-mata. Namun ketika ditanya pula kepada Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai perkara ini maka beliau tidaklah menyalahkan Y.B. Ngo Kor Ming di atas tindakannya membaca ayat al-Quran al-Karim. Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan dan Mursyidur Am PAS turut memuji tindakan Y.B. Ngo Kor Ming yang cuba mendalami dan memahami agama Islam ini.
Oleh hal yang demikian, sahabat saya ini telah mencadangkan kepada saya untuk menyediakan sedikit informasi dan penerangan yang boleh menjernihkan kembali suasana politik tanahair mengenai isu ini. Saya menerima cadangan ini dengan hati yang terbuka. Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk menyebelahi mana-mana pihak, namun penulisan ringkas ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah bertujuan untuk memperbincangkan isu ini secara ilmiah serta membantu memberikan idea dalam menyatukan semula hubungan sesama masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam di Malaysia. Semoga tulisan ini mendapat manfaat yang berguna.
TUNTUTAN KEPIMPINAN DI DALAM ISLAM
Hakikat diutuskan Rasulullah S.A.W. kepada umat manusia adalah untuk memimpin seluruh umat ini dan membebaskan mereka dari kegelapan menuju cahaya kebenaran. Allah Taala juga telah mengutuskan para rasulNya untuk menyeru kepada akidah yang benar dan membawa umat ini keluar dari kemurkaanNya.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan seorang rasul pada setiap umat (untuk menyeru): Sembahlah Allah (semata-mata) dan jauhilah thagut.
(Surah An-Nahl: Ayat 36).
Maka kita boleh katakan bahawa makna kepimpinan di dalam Islam adalah merealisasikan khilafah di muka bumi ini demi mewujudkan kebaikkan dan menjalankan proses untuk mengislah umat ini untuk mendapat keredhaan dari Allah Taala. Rasulullah S.A.W. sendiri telah memerintahkan supaya berlakunya kepimpinan itu walaupun dalam bentuk jumlah jamaah atau kumpulan yang sedikit.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Jika tiga orang keluar dalam suatu perjalanan maka hendaklah mereka mengangkat salah satu di antaranya sebagai pemimpin.
(Riwayat Abu Daud).
HUKUM ORANG BUKAN ISLAM MEMBACA AL-QURAN
01. Berikut adalah fatwa dari Syeikh Atiyyah Saqr (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar)seperti yang terdapat di dalam kitabnya Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam:
Soalan:
Saya merupakan seorang guru al-Quran al-Karim dan Bahasa Arab. Terdapat nas-nas al-Quran al-Karim dalam sukatan pelajaran yang perlu dipelajari oleh semua pelajar dan antara mereka adalah orang Islam dan bukan Islam. Maka adakah boleh orang bukan Islam membaca dan menghafal ayat-ayat al-Quran al-Karim?
Jawapan:
Berkata sebahagian ulama: Golongan bukan Islam tidak ditaklifkan dengan syariat dan hukum-hakam Islam kerana asal syariat tidak terdapat di sisinya. Maka mereka tiadalah halangan (boleh) untuk membaca, membawa dan menyentuh al-Quran al-Karim walaupun tanpa wudhuk. Manakala sebahagian ulama lagi berpendapat: Golongan bukan Islam turut ditaklifkan dengan hukum-hakam dan permasalahannya. Mereka juga akan dihisab oleh Allah Taala di atas pentaklifan syariat ini. Maka mereka tidak dibolehkan untuk membaca, menyentuh atau membawa al-Quran al-Karim jika tidak berada di dalam keadaan bersuci. Jika perkara itu masih lagi terdapat khilaf maka tiadalah halangan (boleh) dari mengambil salah satu pandangan ulama khususnya jika terdapat keadaan yang memerlukan yang demikan.
02. Dalam perbincangan dan pertanyaan saya dengan pensyarah hadis kami iaitu Prof. Dr. Abdul Rahman Abdul Hamid Ahmad al-Bar maka beliau mengatakan:
Adapun orang bukan Islam tidak ditaklifkan (syariat Islam terhadap mereka) dan mereka juga tidak suci sepertimana orang Islam maka adalah tidak boleh orang bukan Islam membaca al-Quran al-Karim dengan sengaja. Namun jika orang bukan Islam membaca al-Quran al-Karim dengan sebab untuk mempelajari atau mendalami Islam maka tindakan mereka (membaca al-Quran al-Karim) itu tidaklah mengapa.
BAGAIMANA MENGHADAPI KHILAF INI?
Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud:
Tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya.(Lihat kitab: al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).
Maksud kaedah ini (di atas) secara lebih jelasnya ialah kita tidak boleh menafikan, membantah atau menuduh orang lain adalah tidak betul atau salah kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam perkara yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika dilihat fenomena hari ini terdapat segelintir golongan yang menyanggah dan menyalahi kaedah ini lantas menyalahkan orang lain yang tidak sependapat dengannya. Malah mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah di antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam di Malaysia khususnya semenjak sekian lama.
BERSATU DI ATAS NAMA ISLAM
Isu bacaan ayat al-Quran al-Karim oleh Y.B. Nga Kor Ming dalam ceramah politik di Bukit Gantang tempoh hari membawa kepada pertikaman lidah antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Jika permasalahan seperti ini tidak dapat dibendung dan ditangani dengan baik oleh semua pihak, kemungkinan akan berlaku lagi kerenggangan hubungan yang lebih parah antara umat Islam di Malaysia dari semasa ke semasa. Pada pandangan saya, isu ini sebenarnya boleh ditangani dengan baik sekiranya kedua-dua pihak saling berlapang dada dan menghormati antara satu sama lain. Inilah yang diajar oleh Islam kepada umatnya yang berselisih faham supaya jangan berpecah-belah.
Firman Allah Taala bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul (Nya) dan pemimpin di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.(Surat An-Nisa: Ayat 59)
Masalah ini akan mula timbul sekiranya ada satu pihak begitu cepat melatah dan cuba memperbesarkan sesuatu isu itu di atas tujuan kepentingan politik masing-masing. Pada saya, kedua-dua tokoh ini (S.S. Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Zakaria dan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat) bercakap dan memberikan pandangan mereka secara bebas di dalam kerangka pemerhatian masing-masing. Kedua-duanya mempunyai hujjah dan alasan yang tersendiri untuk kebaikkan umat Islam di Malaysia. Cuma cara dan jalannya sahaja yang berbeza untuk sampai kepada matlamat yang sama iaitu Islam.
Marilah sama-sama kita menasihati diri sendiri dan sahabat-sahabat kita di sekeliling agar jangan terlalu taasub dan cepat melatah terhadap sesuatu perkara itu. Kadang-kala pihak penyokong dan pengikut yang terlebih agresif dan ekstrem sedangkan para pemimpin mereka tidaklah sebegitu rupa. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru semua pihak agar sentiasa bersatu di atas nama Islam. Berbincanglah dengan baik sekiranya berlaku sebarang permasalahan. Di luar sana musuh-musuh Islam sentiasa memerhatikan gelagat kita ini untuk mencari kelemahan dan kekurangan suapaya mereka dapat menyerang Islam dari segenap sudut.
PENUTUP
Sebenarnya saya tidaklah begitu layak untuk memperkatakan sesuatu mengenai kedua-dua tokoh ini kerana diri ini tidaklah sehebat mereka. Namun di atas dasar Islam dan ilmu, saya tuliskan juga pandangan peribadi saya mengenai isu ini untuk dikongsi oleh semua pembaca. Saya berharap agar medan politik di Malaysia sentiasa di dasari oleh Islam sebagai tunjangnya supaya masyarakat kita dapat berteduh di bawahnya dengan aman dan harmoni. Semoga tulisan saya ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak. InsyaAllah.
‘Memberi dan Berbakti’
Wallahualam.
Legenda muzik Ahmad Nawab meninggal dunia
-
Legenda muzik, Tan Sri Ahmad Nawab, 92, meninggal dunia di kediaman di
Taman Melewar, Batu Caves di sini, pada jam 3.15 petang tadi.
Berita sedih pemerg...
2 hari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan