Ahad, 29 Mei 2011

Melakar Cinta Allah Melalui Sahabat

"Kau tahu apa itu makna uhibbuki fillah?" tanya seorang sahabat kepada saya.

"Mencintaimu kerana Allah," Ringkas jawapan saya.

Kelihatan tidak senang duduk sahabat dengan jawapan saya. Riak muka tidak puas hati lagaknya.

"Memanglah, itu direct translate. Tak semua orang faham erti itu sebenarnya. Cuma mengungkap tetapi tidak sampai jauh ke dasar hati, kerana itu setiap perkara yang dilakukan pasti ada kurangnya, hingga kadang-kadang boleh menjadi cemburu dalam berukhwah. Manusia sebegini masih keliru sebenarnya," luah sahabat dengan air muka penuh kekesalan.

Terhenti seketika kerja yang saya sedang lakukan. Berfikir tentang kata-kata sahabat sebentar tadi.

"Cemburu dalam berukhwah? Saya setuju, bahkan ada yang masih tidak mampu mentafsir ertiuhibuki fillah itu sendiri. Keliru itu benar. Realitinya kerana fitrah berkasih yang terlampau. Rasa menyayangi yang terlampau hingga ada istilah 'dia milik aku' sahaja. Astaghfirullahal azzim, mohon dijauhkan perasaan sebegini," memandang sahabat dengan penuh pengertian.

Benar, ini kisah realiti. Sebenarnya ramai yang masih keliru dengan perasaan sendiri. Fitrah manusia memang mahu menyayangi dan disayangi, tetapi berpadalah dalam berkasih dan sayang hingga timbul perasaan ingin memiliki. Mengikut ilmu psikologi, inilah yang dinamakaninnate motive.

Maknanya jangan berkasih sayang lah?

Tidak.. bukan itu yang saya maksudkan. Berkasih sayang itu perlu, tetapi berpada dan kawallah diri. Berukhwah kerana Allah semata-mata. Jadi takkan timbul isu 'dia milik aku'.

Tidak Cemburu

Orang-orang yang beriman tidak akan rasa cemburu apabila sahabat menjalin ukhwah dengan sahabat lain. Isilah hati dan nurani dengan jalan Allah kerana ukhwah ini terjadi atas kehendak Allah. Jika ada timbul rasa cemburu, muhasabah kembali kerana sungguh itu adalah bisikan syaitan yang cuba menghasut dan menggugat ukhwah yang dibina.

Siapa kita untuk memiliki? Tiada apa-apa di dunia ini adalah milik kita. Sahabat? Bukan milik kita. Justeru kenapa mahu cemburu apabila orang lain mendampingi?

Firman Allah s.w.t : "Sesungguhnya mukmin itu bersaudara." (al-Hujuraat: 10)

Dari firman ini telah jelas bahawa semua muslim itu adalah bersaudara. Tiada yang tertinggal. Kita memerlukan antara satu sama lain. Seharusnya kita perlu belajar menyayangi setiap sahabat yang berada di sekeliling kita.

Dalam Islam sudah diajar tentang ithar (melebihkan orang lain) yakni tahap ukhwah yang paling tinggi manakala berlapang dada adalah tahap ukhwah yang paling rendah.

Tapi dalam apa jua keadaan, kita harus sedar tentang makna basitah (kesederhanaan). Bila sudah sayang terlebih, segala benda jadi lain. Justeru itulah kita perlu bersederhana. Kalau mahu sayangi semua, bukan memilih-milih pula.

Nasihat ini jelas untuk saya dan semua yang mempunyai sahabat. Mungkin ini sudah terjadi atau bakal terjadi. Makanya saya mahu mengingatkan dahulu sebelum terkena pada diri sendiri atau yang lain juga.

Uhibbuki fillah, best friend, teman sejati atau apa-apa sahaja akan menjadi retorik semata-mata jika setiap perhubungan itu tidak di dasari dengan iman dan takwa. Usah tertipu dengan mainan perasaan sendiri. Perbetulkan niat kembali jika masih ada cemburu di hati.

Layanan Istimewa Untuk Semua Sahabat

Sayugia saya mahu mengingatkan kalian tentang kisah Rasulullah SAW dalam bersahabat.

Adakah para sahabat yang lain merasa cemburu dengan Abu Bakr apabila Rasulullah SAW mengatakan Abu Bakr adalah teman baiknya. Saidina Umar, Uthman, Ali dan sebagainya tidak cemburu melihat persahabatan itu kerana Rasulullah SAW melayan para sahabat yang lain juga dengan istimewa. Inilah yang perlu kita contohi bersama.

Jika kita mampu untuk memberi hadiah, belanja kawan, sentiasa saling mengingat, membantu dia, bertanya khabar kepada kawan yang seorang; beri layanan istimewa dan memasak untuk kawan seorang, kenapa tidak kepada kawan yang lain kita lakukan sebegitu rupa? Adakah Islam mengajar kita untuk membanding beza darjat?

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Janganlah saling mendengki, saling menipu, saling membenci, saling memutuskan hubungan dan janganlah sebagian kamu menyerobot transaksi sebagian yang lain, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim itu saudara muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya, membiarkannnya (tidak memberikan pertolongan kepadanya), mendustainya dan tidak boleh menghinakannya.

Taqwa itu berada di sini (beliau menunjukkan dadanya tiga kali). Cukuplah seorang (muslim) dianggap (melakukan) kejahatan karena melecehkan saudara muslimnya. Setiap muslim atas muslim lain haram darahnya, hartanya dan kehormatannya." (HR. Muslim dan Ibnu Majah)

Jadi, mari kita tajdidkan (memperbetulkan) niat kita dan banyakkan muhasabah. Mungkin selama ini kita berukhwah bukan kerana Allah tetapi atas dasar lain.. peribadi ke, minat yang sama ke, perasaan ingin memiliki ke..

Mari koreksi diri.. mari istighfar berulang-ulang kali..

"Ada tak orang rasa cemburu dengan kita. Mereka rasa takut untuk rapat sebab kita berkawan baik?" tanya sahabat lagi.

"Wallahua'lam, jika ada yang berfikiran sebegitu, mesti ada silap dia dan silap kita juga. Dalam ukhwah ini kita membina ithar tetapi kita perlukan juga basitah," tuntas saya.

Moga ini dapat menjadi renungan untuk para sahabat di luar sana. Sungguh mungkin ini juga bakal terjadi pada saya dan anda, kita tidak tahu. Jadi persiapkan diri dan bermuhasabah kembali.

Marilah kita menjalin ukhwah kerana Allah..

Untuk sahabat-sahabat saya di luar sana.. uhibbuki fillah.. harap ukhwah ini hingga ke jannah hendaknya.

Ya Allah,peliharalah ukhwah kami ini. Moga tiada hasad yang menyelirat jauh di hati yang tersirat..

Di jalan Allah,
Persahabatan ini bukan milikku dan bukan jua milikmu,
Persahabatan ini adalah perancangan daripada Allah yang mengetahui segala rahsia,
Kerana DIA lah aku mengenalimu dan kerana DIA jua telah menetapkan ukhwah itu,
Pasti terukir 1001 kenangan dan kasih sayang,
Semuanya kerana Allah,
Sungguh,
Bukan kerana selain daripada-Nya..

Jumaat, 27 Mei 2011

Membuka Kunci Yang Pertama

Usai menelaah buku, aku terfikir akan beberapa perkara. Kehidupan manusia dan alam ini cukup misteri. Sungguh banyak benda yang tidak kita ketahui. Cuma hairan juga bila melihat ramai manusia yang menyombongkan diri.

Teringat akan kupasan menarik dari buku Mukmin Profesional. Al-Quran itu kitab suci, tapi mengapa ada cerita manusia yang paling keji?

Dalamnya ada kisah Firaun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan. Dalamnya ada kisah kaum Nabi Lut yang mengamalkan homoseksual. Dalamnya ada kisah kaum Nabi Nuh yang menyembah berhala.

Harta Qarun

Jawapannya? Cari sendiri =)

Kali ini aku ingin berkongsi akan satu rahsia yang baru kufahami seketika tadi. Sudah lama kita tuturkan perkataannya namun baru sekarang aku mengerti maksudnya.

Kata Mr.X:

"Untuk berjaya kita mesti berupaya MENGAWAL diri kita"

"Untuk berjaya kita mesti berupaya MENGAWAL diri kita"

"Untuk berjaya kita mesti berupaya MENGAWAL diri kita"

Tiga kali diulang. Perkataan MENGAWAL ditekankan.

"Ingat KAWAL, bukannya menukar atau mengubah diri...tapi MENGAWAL diri"

Keupayaan seseorang untuk mengawal diri merupakan satu kunci yang cukup penting untuk menguasai diri. Orang yang tidak mampu mengawal diri akan jatuh ke dua hujung yang melampau.

Tambah Mr.X,
"Self-control is the key to self-mastery"

Dua komponen perlu diaktifkan untuk mengawal diri:
1. Pemikiran
2. Perbuatan

Pemikiran di sini merujuk kepada suara dari dalam diri kita. Suara hati dengan kata lain. Suara hati yang TEKAD ingin belajar bersungguh-sungguh perlu digabungkan dengan USAHA yakni perbuatan belajar bersungguh.

Sekiranya kita dapat mendisiplinkan diri untuk konsisten mengawal pemikiran dan perbuatan kita, maka kita akan dapat mengawal diri kita.

Bila kita dapat mengawal diri kita, maka kita sudah mula membuka kunci yang pertama!

Khamis, 26 Mei 2011

Hati Manusia Beriman

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (Surah Al-Anfal 8: Ayat 2)

Orang yang beriman akan sentiasa bersama orang yang benar-benar mentaati Allah. Mereka tidak akan suka untuk bersama dengan golongan yang menderhakai Allah, apatah lagi yang merendah-rendahkan agama. Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar". (Surah at-Taubah: 119)

Mereka tidak akan bersama golongan yang bid'ah yang berfahaman dengan ideologi-ideologi baru atau ajaran sesat, apatah yang menghina agama mereka. Firman Allah SWT: "Dan sungguh Allah telah turunkan kepada kamu di dalam Al Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diengkari dan dipermain-mainkan, maka janganlah kamu duduk bersama mereka, sehingga mereka bercakap perkara yang lain. Sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam (neraka) Jahannam". (Surah an-Nisa': 140)

Mereka juga tidak akan bersama dengan golongan yang jelas-jelas melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT. Jabir r.a. menyatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ، فَلاَ يَجْلِسْ عَلَى مَائِدَةٍ يُدَارُ عَلَيْهَا الْخَمْرُ.

Ertinya: "Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang dihidangkan arak". Hadis riwayat Tirmizi dan al-Hakim, dan beliau menganggapnya sohih mengikut syarat Imam Muslim dan diakui az-Zahabi.