“Ustaz, saya bercadang untuk tidak berpuasa di bulan Ramadhan ini sebab saya terpaksa menduduki peperiksaan”, kata seorang mahasiswi melalui emailnya kepada saya.
“Saya yang lemah iman tidak mungkin boleh berpuasa Ramadhan ini sebab aktiviti minggu orientasi yang berat!”, maklum seorang mahasiswa pula.
“Saya terlalu bernafsu kuat dan sering melakukan masturbasi termasuk di Ramadhan ini. Apakah nasib saya ustaz?”, tulis seorang… maaf bukan seorang, tapi beberapa orang pelajar perempuan melalui email kepada saya. Ya, perempuan. Bukan lelaki.
Muka saya merah, telinga kepanasan.
Jika hanya seorang yang bercadang untuk tidak berpuasa, saya dengan mudah menganggapnya sebagai kes terpencil. Tetapi Ramadhan kali ini saya dihubungi oleh sejumlah mahasiswa dan mahasiswi yang telah awal-awal lagi berazam untuk TIDAK BERPUASA, kerana ada sesuatu yang berlaku di dalam hidup mereka selain makan dan tidur.
Peperiksaan…
Aktiviti minggu orientasi…
Banyak bekerja shif malam…
BUKAN TERPENCIL
Kesemua email yang saya terima di bawah kategori ini saya himpunkan tanpa tergesa-gesa menjawabnya. Sengaja saya kumpulkan sehingga selesai seminggu pertama Ramadhan. Jumlahnya signifikan. Datangnya dari empat penjuru bumi. Mengecewakan!
Di manakah silapnya?
Kelemahan jati diri anak watan kita ini sudah amat kritikal. Tolaklah ke tepi semangat-semangat yang sedang dicari untuk berjihad, membela umat, membebaskan Palestin dan menebus kemunduran bangsa.
Cukup sekadar saya katakan, mungkin ini salah satu sebab mengapa Malaysia gagal mendapat pingat emas di dalam Sukan Olimpik. Negara ini melahirkan bangsa manusia yang lemah determination biar pun tinggi IQ, hebat teknologi, mewah kemudahan prasarana, banyak ilmu dan lebih segala-galanya.
Semuanya terbangun dan bangkit ‘maju’, kecuali manusianya. Terlupa prima kausa!
AMARAN
Perbuatan menyengajakan tidak berpuasa atau berbuka tanpa uzur syar’ie yang kita sedia maklum, adalah dosa besar yang berat ancamannya dari Allah dan Rasul-Nya.
Daripada Abi Umamah al-Bahili beliau berkata, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : Semasa aku sedang tidur, datang dua lelaki kepadaku dan mendapatkan aku pada tangannya lalu membawa aku ke hujung gunung. Mereka berkata : Naiklah ke atas.
Aku berkata: Aku tidak boleh. Mereka berkata. Sesungguhnya kami akan mempermudahkan bagimu. Maka aku mendaki sehingga sampai ke kemuncak gunung tersebut. Kemudian aku mendengar suara-suara yang kuat.
Aku berkata : Suara apakah itu? Mereka berkata: Ini adalah suara pekikan manusia dari neraka. Kemudian aku bergegas sehingga aku melihat manusia digantung di belakang lutut mereka, dengan di tepi mulut-mulut mereka koyak dan darah keluar dari mulut-mulut mereka.
Aku berkata: Siapakah mereka ini? Mereka berkata: Ini adalah mereka yang berbuka puasa sebelum waktunya. – [Hadith disahihkan oleh al-Albani di dalam Mawaarid al-Zam’aan, #1509]
Wahai adik-adikku, teguhkanlah jati diri kalian. Jangan jadikan keselesaan hidup hari ini fitnah ke atas dirimu! Susah hidup semalam dan senang selesa hidup hari ini, semuanya menuju ke KESUSAHAN AKHIRAT yang SAMA. NERAKA YANG SAMA.
Doaku agar kita bertemu di SYURGA.
Legenda muzik Ahmad Nawab meninggal dunia
-
Legenda muzik, Tan Sri Ahmad Nawab, 92, meninggal dunia di kediaman di
Taman Melewar, Batu Caves di sini, pada jam 3.15 petang tadi.
Berita sedih pemerg...
2 hari yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan