Isnin, 14 September 2009

Britain risau keganasan sudah gegar Birmingham, London

Protes anti-Islam makin menjadi-jadi



SEORANG lelaki membawa sepanduk membantah pembinaan masjid dalam protes EDL di tengah Britain.

LONDON: Kerajaan Britain menyuarakan kebimbangan terhadap pertempuran yang meletus antara penunjuk perasaan anti-Islam dengan kumpulan Muslim yang semakin kerap berlaku di beberapa kota besar negara itu.

Malah, Menteri Masyarakat, John Denham, menuduh penunjuk perasaan anti-Islam itu sengaja cuba menimbulkan kekacauan.
Dalam temu ramah dengan akhbar The Guardian, menteri itu dipetik sebagai berkata: "Taktik cuba menghasut agar berlaku tindakan balas dengan tujuan untuk mewujudkan keganasan lebih besar serta kekacauan sudah lama menjadi amalan kumpulan ekstremis dan berhaluan kanan."

Beliau merujuk kepada keganasan di Luton, Birmingham dan London sejak beberapa bulan lalu membabitkan kumpulan berhaluan kanan, termasuk Liga Pertahan Inggeris (EDL) dengan belia Muslim.

Denham bimbang, ia mengulangi keganasan pada 1936 selepas pemimpin fasis Britain, Oswald Mosley, mengetuai perarakan di kawasan padat penduduk Yahudi di East End, London.
PENUNJUK perasaan EDL membawa sepanduk bermaksud �Usir pelampau, pastikan keselamatan Britain� dalam protes di Birmingham.

Tetapi EDL menolak anggapan ia dipengaruhi fahaman fasis dan menegaskan ia hanya menentang militan Islam.

Dalam laman webnya, kumpulan itu mendakwa keganasan tercetus kerana hasutan kumpulan Muslim dan puak berhaluan kiri.

Namun, jurucakap Majlis Muslim Britain (MCB), Inayat Bunglawala menyifatkan misi sebenar EDL bersifat anti-Muslim dan soal militan Islam hanya alasan.

"Mereka tidak menyokong perpaduan masyarakat," katanya.
Bunglawala menambah MCB, kumpulan payung bagi pertubuhan Muslim Britain, menyaksikan kejadian anti-Muslim yang semakin menjadi-jadi � termasuk serangan ke atas masjid dalam tempoh beberapa bulan lalu.

"Keadaan ini amat membimbangkan, " katanya.

Media di Britain melaporkan, EDL berasal dari Luton, bandar pelbagai etnik di utara London, yang menyaksikan tunjuk perasaan Muslim terhadap askar Britain yang kembali dari Iraq, Mac lalu.

Sekumpulan penduduk Muslim berjanggut berpiket ketika sambutan balik tentera berkenaan dan menaikkan sepanduk menuduh mereka 'penyembelih' dan 'pembunuh bayi'.

Ketegangan meningkat Mei lalu apabila demonstrasi kumpulan berhaluan kanan menggelarkan diri mereka 'Rakyat Bersatu Luton' menyebabkan premis perniagaan Asia Selatan diserang dan kereta mereka dipecahkan.

Bulan lalu, pengganti kumpulan berkenaan, EDL, cuba menganjurkan bantahan di Birmingham, apabila mereka bergaduh dengan penunjuk perasaan antifasis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan