Ahad, 17 Januari 2010

Menjadi Luar Biasa, Keluar Dari Comfort Zone

Terkejut dan terpinga-pinga saya sebentar mendengar lokasi program yang disertai kali ini. Seumur hidup,tidak pernah lagi saya dan keluarga mendengar nama tempat ini, apatah lagi untuk melawatnya. Pastinya tempat tersebut masih baharu dibuka dan berada di kawasan perhutanan yang kurang mendapat liputan masyarakat umum lagi.

Ternyata,telahan kami tepat!

Kem Beliawanis 2009 ini sebenarnya dianjurkan oleh kumpulan Nisa' kawasan Kubang Kerian, Kelantan. Ianya berlangsung selama 3 hari 2 malam dan melibatkan para peserta yang datang dari pelbagai sekolah menengah di bawah Parlimen Kubang Kerian. Malah, ada juga beberapa peserta yang sudahpun bekerja, namun sanggup meluangkan masa untuk hadir ke program semata-mata untuk menyertai program ini. Alhamdulillah, terima kasih saya ucapkan kepada Pengarah Program, Kak Nor kerana sudi mengundang saya menjadi fasilitator untuk program tersebut.


Lokasi
Kem Jeram Mengaji terletak di kawasan Selising, di daerah Pasir Puteh Kelantan. Memandangkan kedudukan lokasi yang terpencil dan jauh terperusuk di dalam hutan belantara, saya mengambil masa lebih kurang dua jam untuk sampai ke destinasi. Memandu bersendirian di kawasan terpencil (tanpa GPRS) adalah suatu tindakan yang tidak pernah saya lakukan selama ini. Apatah lagi saya baru sahaja mendapat lesen memandu Percubaan (P) selepas sambutan Aidilfitri tahun 2009. Namun, saya amat gembira kerana keputusan yang diambil ini membuatkan saya mendesak diri untuk menjadi lebih berani dan berdikari. Saya yakin keberanian serta keyakinan diri itu hanya teruji apabila kita sanggup keluar daripada 'Comfort Zone' yang didiami selama ini.


Suasana dan Pendekatan Berbeza
Saya diminta untuk menjadi fasilitator Kumpulan 1 bagi menggantikan Kak Raden yang pulang awal. Saya juga diminta untuk memberi sedikit pengisian spontan sempena Kuliah Maghrib, sementara menunggu masuknya azan waktu Isyak. Tanpa sebarang persediaan, permintaan tersebut ditunaikan sebaiknya. Namun saya sedar bahawa terdapat banyak cacat cela di sepanjang perkongsian ringkas itu. Saya terlupa, bahawa saya kini bukan lagi berada di kampus universiti; dikelilingi teman-teman yang berani tampil ke hadapan, memberi percambahan idea yang bernas serta berkebolehan memahami Bahasa Inggeris dengan baik. Oleh kerana itu, saya seringkali menyelitkan terma-terma dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu standard, daripada menggunakan loghat Kelantan yang lebih dekat di hati para peserta program.Di hadapan saya pada ketika itu adalah golongan remaja yang bukan berasal dari keluarga senang-lenang. Ramai yang berasal dari kampung dan bersikap malu-malu. Sebagaimana kebanyakan pemuda-pemudi lain di Malaysia, mereka juga mengalami krisis keyakinan diri dan cenderung untuk berdiam diri, daripada bersifat proaktif.

Dihadapan saya juga adalah kumpulan fasilitator dari kalangan muslimat yang manis menutup aurat, bertudung labuh, dan ramai yang memakai purdah..suatu permandangan yang sangat jarang dilihat saya sebenarnya. Sehingga, sesekali saya terfikir, adakah aurat dan cara pemakaian saya masih belum sempurna? Liberalkah aku? (perasaan sedikit tergugah apabila melihat kumpulan fasi yang sangat menyejukkan mata,hehe,chill~)

Maka, ini menjadi suatu cabaran yang baik buat para daie yang menuntut di luar Negara khususnya saya sendiri untuk mencari titik persamaan kami 'despite of our differences and my awkwardness'. Bagaimana kita mahu 'break the ice' di kalangan peserta (dan fasilitator) program yang datang dari latar belakang yang jauh berbeza? Bagaimana pula kita ingin mendekati golongan pakcik makcik atau masyarakat yang lebih tua? Apa yang perlu kita lakukan sekiranya pertanyaan yang diajukan tidak mendapat sambutan? Apakah pendekatan yang dilakukan terhadap golongan ini sama sebagaimana pendekatan kita terhadap pelajar-pelajar universiti di oversea? Banyak lagi perkara yang perlu kita fikirkan sekiranya kita mahu menyampaikan mesej dengan efektif dan berkesan terhadap golongan yang ingin kita dekati.Yang pasti,suasana di universiti luar Negara dan realiti di Malaysia cukup berbeza sama sekali. Dan anda perlu sentiasa bersedia serta sanggup untuk belajar menyesuaikan diri.

Sebahagian pelajar oversea yang memiliki kesedaran dakwah dan ingin bergerak di Malaysia lebih selesa untuk memilih pelajar di sekolah-sekolah dan universiti sebagai golongan sasar. Mungkin jurang umur yang kurang ketara membantu mereka untuk memahami dan berinteraksi dengan mad'u. Ditambah pula jika golongan sasar tersebut belajar di sekolah-sekolah atau kolej persediaan yang pernah dihadiri mereka suatu ketika dahulu.Pasti ada sahaja topik yang boleh dibincangkan bersama.

Hal ini langsung tiada salahnya. Namun, jika kita terlalu selesa berada di dalam kelompok/zon ini, ia mungkin menyekat potensi diri untuk berkembang lebih jauh, tanpa kita sedari. Cuba bayangkan jika anda seorang pemalu atau mungkin lebih gemar menjadi seorang pengikut setia daripada memegang amanah sebagai ketua. Tiba-tiba, suatu hari nama anda dicalonkan sebagai Pengarah Program X. Adakah anda akan menerima atau menolak pencalonan tersebut ?
"Tak naklah. Saya tak pernah lead orang." dan "Bagi kat si Y ajelah. Dia dah biasa buat kerja-kerja macam ni."
adalah antara jawapan yang biasa dilontarkan oleh mereka yang mempunyai sikap 'pengikut'. Kadang-kadang kasihan juga kepada sebahagian teman yang sanggup berkorban menggalas beberapa jawatan dalam satu-satu masa, sedangkan di dalam suatu organisasi kita sewajarnya bersikap toleransi selain bersatu menjaga penjuru masing-masing.
Mari kita bertanya kepada diri sendiri, Mengapa hal sebegini terjadi even dalam organisasi dakwah sendiri?


Sebagaimana yang anda lihat di dalam gambar rajah di atas,anda(dan saya) kini berada di 'Comfort Zone' -lingkungan yang sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita. Seperti kebanyakan insan yang lain, kita mahu terus untuk berada disitu selamanya. Malah, ada yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mengelakkan perasaan 'uncomfortable' muncul di dalam diri. Well, to avoid this feeling is actually a mistake, dan berikut adalah antara sebab musababnya.

Why avoiding the uncomfortable feeling is a mistake?

Realitinya, setiap apa yang kita mahukan dalam hidup ini berada di area 'Possibility Zone', yakni di luar 'Comfort Zone' itu sendiri. Tidak kiralah apa jua impian yang dimahukan sama ada kesihatan yang lebih baik, mencapai personal development/achievement, kewangan yang lebih terurus, atau cinta yang berbalas dan direstui kedua-dua belah pihak keluarga. Semuanya berada di luar sana. Apa yang penting, kita perlu berani untuk mengambil risiko, dan keluar daripada 'Comfort Zone' tersebut. Pada awal permulaanya, mungkin perasaan kekok, gugup, takut, gementar, 'sakit jantung' dan segala perasaan lain yang kurang selesa akan muncul melemahkan semangat anda. Namun, sekiranya usaha untuk keluar daripada 'Comfort Zone' ini dilakukan berulang kali, inshaAllah segala perasaan tersebut dapat diatasi. 'Daerah Comfort Zone' saya dan juga anda juga akan berkembang. Kemajuan ini seterusnya menjadi pemudah cara bagi kita mencapai sesuatu yang diinginkan di dalam hidup. Tapi harus diingat; semua yang anda mahukan sentiasa berada di luar 'Comfort Zone'. Jadi,proses untuk berpijak keluar dari 'Comfort Zone' ini perlu dilakukan secara kerap dan berterusan.

Penutup
Di suatu sudut, terlihat kelebihan pelajar-pelajar luar Negara yang bijak mendekati pemuda pemudi harapan bangsa yang masih lagi menuntut di sekolah dan universiti. Namun,seringkali mereka mengutamakan institusi pengajian yang sudah establish dan meminggirkan sekolah-sekolah bermasalah,sekolah kampung dan orang asli. Sedangkan di tempat-tempat sebeginilah khidmat dan follow up anda benar-benar di perlukan. Saya tidak pasti, jika ini adalah salah satu daripada 'Comfort Zone' kami. Namun,saya tetap berpendapat bahawa adalah lebih adil dan lebih baik jika kita manfaatkan kebolehan dan anugerah yang dimiliki ini bukan kepada sesetengah golongan yang 'terpilih' sahaja.

Di luar sana, masih ramai lagi pelajar yang belum menguasai 3M (mengira,membaca dan menulis) meskipun kini berada di peringkat sekolah menengah. Kurang ilmu. Kurang didikan agama. Dan kekurangan teman yang boleh memberi inspirasi, semangat dan keyakinan kepada mereka bahawa mereka juga mampu untuk berjaya JIKA mereka berusaha bersungguh-sungguh dan berani untuk bercita-cita.

Anda,adalah antara orang yang diharap dan ditunggu mereka untuk memberi inspirasi dan beraspirasi bersama mereka.

Jadi,beranikanlah diri untuk keluar daripada kebiasaan supaya anda mampu menjadi seorang insan yang luar biasa?

1 ulasan:

  1. entry ni sangat menarik..tapi rasa lebih menarik kan kalau ada letak gambar..lagi senang nak bayangkan tempat kem beliawanis tu..

    err,sekadar pendapat.;

    BalasPadam