Ahad, 2 Ogos 2009

Menangkis Serangan Barat Terhadap Umat Islam






Muqaddimah

Dalam realiti kini aktiviti-aktiviti maksiat telah dimanipulasikan menjadi simbol kemajuan dan kemodenan. Manusia yang bernama Muslim tidak lagi berkesempatan untuk berfikir amal baik apakah yang perlu dipersiapkan untuk hari esok. Mereka sering berfikir aktiviti leka apakah yang hendak dilakukan untuk menghabiskan masa siang dan malam. Rata-rata yang mengaku muslim dibelenggu oleh nafsu syaitan. Keperibadian mereka larut dalam budaya dan cara hidup Barat.

Musuh Islam yang sentiasa bekerja keras

Musuh Islam dari Barat, secara terus menerus dan agresif, menanamkan nilai-nilai dan budaya jahiliyyah ke dalam jiwa umat Islam. Jiwa umat Islam dipupuk supaya merasai ‘rendah diri’ . Dengan da’yah yang sistematik, misalnya melalui media cetak dan elektronik, ditanamkan satu pandangan bahawa apa-apa yang datang dari Islam adalah kuno dan tidak sesuai dengan zaman. Ataupun, apa yang datang dari Islam dianggap ganas dan melampau sedangkan apa yang datang dari Barat dianggap baik, maju dan moden.

Tidak sedikit umat Islam di pelbagai belahan bumi telah merasa asing terhadap nilai-nilai Islam dan cara hidupnya. Pada masa yang sama, mereka berjinak dengan cara atau gaya hidup Barat. Bahkan, lebih jauh dari itu, umat Islam merasa bangga dengan budaya Barat. Perhatikanlah dalam realiti kini;

Siapakah yang memenuhi panggung-panggung wayang?

Siapakah yang melepak dan berpeleseran di tepi-tepi bangunan membeli belah?

Siapakah yang kerap berkunjung ke pusat-pusat hiburan?

Siapakah yang ramai menghisap rokok?

Siapakah yang ramai menagih dadah?

Siapakah yang membuang anak luar nikah hidup-hidup?

Siapakah yang sering menjadi ‘kutu-kutu’ malam bersama-sama dengan motosikal-motosikal mereka?

Siapakah yang paling ramai tercicir dalam pelajaran?

Siapakah yang paling terkehadapan menentang perlaksanaan hukum-hukum Islam?

Jawapannya jelas iaitu Umat Islam.



"Akan datang kepada manusia satu zaman,
orang yang berpegang teguh dengan agamanya
seperti orang yang menggenggam bara api." At-Tirmidzi


Usaha-usaha pembaratan

Di awal usaha gerakan pembaratan ialah supaya umat Islam merasa ragu-ragu dan asing terhadap deen mereka sendiri dan di hujung gerakan pembaratan ialah Kristianisasi (riddah). Dengan kata lain, merosakkan akidah umat Islam. Antara serangan Barat terhadap umat Islam adalah;

1. Menghalang tertegaknya kesatuan umat Islam dengan cara menghalang kekhalifahan Islam. Sekaligus, Barat berusaha memperdalamkan perasaan kebangsaan dan kedaerahan di kalangan umat Islam.

2. Menegakkan pendidikan dengan sistem ‘co-education’ yang mencampurkan pelajar lelaki dan pelajar perempuan dalam sebuah sekolah atau dalam sebuah bilik darjah. Ini mendedahkan umat Islam kepada fitnah.

3. Melaksanakan sistem riba' dalam ekonomi dan menghancurkan harta kekayaan umat Islam.

4. Memansuhkan undang-undang Rabbani yang berdasarkan syari’at Islam, dan memaksa perlaksanaan undang-undang rekaan manusia yang meruntuhkan akhlak dan menghancurkan keluarga muslim.

5. Merosakkan ikatan kekeluargaan, merobohkan nilai-nilai sosial dan merangsang umat Islam mengamalkan akhlak serba boleh (tanpa batasan). Juga menggalakkan hidup berpecah-belah dan menghapuskan keperibadian insan yang soleh.

6. Memecah-belahkan daerah-daerah Islam dan menanamkan unsur-unsur asing di hati umatnya.

7. Menulis kembali sejarah Islam berdasarkan kaca mata Barat yang bersifat kebendaan.

8. Membangkitkan rasa kebanggaan kedaerahan, kebangsaan dan kesukuan serta menghidupkan kembali sejarah kuno sebelum Islam.

9. Menyebarkan semangat materialisme, mengenengahkan teori Darwin sebagai pintu kepada atheisme dan menanamkan rasa ragu-ragu terhadap ajaran Islam mengenai asal usul kejadian manusia menurut Al Qur’an.

10. Menyebarluaskan fahaman materialisme dalam hubungan antara manusia dan kehidupan sosial menurut teori Freud (mengenai dorongan seksual) dan teori Marxis (mengenai dorongan isi perut) serta menggambarkan manusia sebagai binatang yang dikuasai oleh nalurinya.

11. Mematikan bahasa Arab kerana ia adalah bahasa Al Qur’an.

12. Menafikan keunggulan kaum Muslimin dalam sejarah peradaban manusia.

13. Memaksa manusia memahami dan meyakini falsafah-falsafah materialisme seperti dialektika, permissivisme, eksistensialisme dan materialisme. Yang mana falsafah-falsafah ini menyemarakkan perasaan dengki, hawa nafsu dan angan-angan panjang. Juga, falsafah-falsafah ini mengingkari terhadap sesuatu yang tidak dapat dijangkau oleh pancaindera (atau yang tidak dapat dibuktikan secara empirikal).

14. Mengingkari agama dengan menganggapnya sebagai perkara yang membawa kemunduran hidup dan ketinggalan dari segi kemajuan sosial. Memisahkan Islam dengan politik dan akhlak manusia. Juga, menyerang akidah Islam dan nilai-nilainya.

15. Menyebarluaskan perpecahan dan permusuhan antara agama-agama dan ras-ras manusia.

Tujuan proses pembaratan terhadap umat Islam


1. Agar kaum Muslimin menerima gaya hidup barat dan jahil terhadap sistem hidup Rabbani.

2. Agar kekuatan kaum Muslimin lumpuh serta tidak berupaya lagi untuk menegakkan kembali peradaban Islam dalam ertikata sebenar.

Langkah-langkah menangkis serangan barat

Untuk menangkis gerakan pembaratan terhadap umat Islam, maka antara langkah penting yang perlu diambil adalah;

1. Menyebarluaskan da’wah Islamiyyah Da’wah Islamiyyah yang menerangkan Islam berdasarkan sumber-sumber yang muktabar perlu diutarakan kepada masyarakat melalui pelbagai wasilah yang munasabah. Ketahanan jiwa umat perlu dibina dengan wa’ Islami yang sebenar. Hati dan ‘aqal masyarakat perlu diselamatkan daripada racun yang disebarkan oleh musuh. Satu hakikat yang tidak dapat disangkal bahawa kejayaan gerakan pembaratan selama ini adalah lantaran jiwa umat Islam yang lemah. ‘Aqal dan ruh umat kosong daripada ajaran Islam sebenar.

2. Melaksanakan Tarbiyyah Islamiyyah
Tarbiyyah Islamiyyah untuk membentuk individu-individu muslim perlu dilaksanakan melalui pelbagai program. Individu-individu muslim yang soleh adalah umpama batu bata yang akan membangunkan bangunan Islam serta mampu untuk menangkis serangan musuh-musuh Islam. Begitu juga kurikulum Tarbiyyah Islamiyyah perlu dibina akan dapat dijalankan di sekolah-sekolah. Pelajar-pelajar dididik dalam bidang akidah, syar’iah dan akhlak. Tarbiyyah Islamiyyah bukan sekadar menjadikan Islam sebagai pengetahuan sahaja, tetapi juga melahirkan keyakinan dan amal Islami dalam kehidupan harian.

3. Mengenengahkan Islam melalui media massa
Pekerja-pekerja Islam perlu memberi perhatian terhadap media massa. Seharusnya, pihak Islam mempunyai pusat maklumatnya sendiri yang dikendalikan oleh tenaga-tenaga mahir yang ikhlas dan mampu menyingkap pelbagai bahaya tersembunyi dalam da’yah yang disiarkan oleh musuh-musuh Islam.

4. Membina kesatuan umat Islam
Sewajarnya umat Islam berusaha ke arah kesatuan dan penyelarasan sehingga dapat berdikari dalam pelbagai bidang kehidupan. Pergantungan kepada pihak musuh, baik dalam aspek politik, ekonomi mahu pun mana-mana keperluan hidup, akan hanya mengundang kelemahan dan perpecahan. Musuh-musuh akan mengambil kesempatan daripada kelemahan dan perpecahan itu untuk campur tangan dan seterusnya merosakkan urusan umat Islam.



Penutup

Di samping langkah-langkah di atas diambil untuk berhadapan dengan gerakan pembaratan oleh musuh-musuh Islam, umat Islam juga perlu berwaspada dan berhati-hati dalam menerima sesuatu yang datang dari luar. Jangan terjadi, dengan beralasan kepada sikap ‘toleransi dan terbuka’, maka gerakan-gerakan yang merosakkan akidah Islam dibiarkan begitu sahaja hingga boleh membawa kepada gejala riddah yang berleluasa.

Khamis, 30 Julai 2009

Dia Pilihanku

Aku sedang menanti dia
Seorang lelaki yang akan bergelar suami
Seorang mukmin yang merindui syahid di jalan ALLAH
Seorang hambaNYA yang senantiasa zikrullah

Dia seorang lelaki yang tegas dan berani
Dia tidak pernah takut untuk berkata benar
Dia tidak pernah gentar melawan nafsu yang ingin menguasai diri
Dia sentiasa mengajak aku berjuang berjihad fisabilillah

Dia selalu menghiburkan aku
Dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran
Dengan zikir-zikir munajat
Dengan surah-surah rindu yang dihafaznya

Ketika aku leka diulik mimpi indah duniawi
Dia menasihati ku supaya mengingati matiKetika aku sedang asyik terpesona dengan buaian cinta dunia
Dia menyedarkan aku betapa lazatnya lagi pesona cinta Yang Maha Esa

Dia memang sentiasa kelihatan penat
Matanya penat kerana membaca
Suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir
Badannya letih kerana bermunajat di malam hari

Dia sentiasa mengingati mati
Baginya,dunia ini adalah pentas lakonan semata-mata
Kita hambaNYA adalah pelakon
Hasil keputusan lakonan kita akan diputuskan di padang Mahsyar nanti

Dia sentiasa menjaga matanya dari berbelanja perkara-perkara maksiat
Dia sentiasa mengajak aku mendalami ajaran Islam
Dia seorang yang penyayang dan taat akan kedua ibu bapa
Dia juga sentiasa berbakti untuk keluarga

Dia sentiasa tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan
Baginya, dugaan-dugaan itulah yang akan menjahit semula
Sejadah imannya yang terkoyak
Lantaran mungkin kerana kekhilafannya sendiri
Dia sentiasa menjaga solatnya kerana itulah maruah dirinya
Dia sentiasa bersedia menjadi imam dan pemimpin keluarga

Dia tidak pernah berasa malu mempertahankan agama IslamNYA
Kerana Islam adalah addin ALLAH yang sebenar-benarnya
Dia sentiasa ingin mencontohi sifat-sifat mulia Rasullullah S.A.W.
Dia juga sentiasa berusaha mencintai kekasih agungnya
Kekasih sejatinya dan kekal abadi
Iaitu ALLAHURABBI

Dia selalu berdoa dan mengimpikan syurga
Dia ingin mengajak aku ke sana sekali
Kerana, di situlah tempat pertama wujudnya cinta
Dia ingin bawa aku ke syurga yang abadi dan hakiki

Aku mencintai dia kerana agamanya dan kerana cintanya kepada Maha Pencipta
Andai dia hilangkan cintanya, maka hilanglah cintaku pada dia
Cinta dia terhadap Maha Pencipta mendekatkan aku padaNYA
Cinta Illahi jugalah yang menyebabkan aku memilih dia

Siapakah dia..???
Aku juga tidak mengetahui siapakah dia jodoh ku
Hanya Engkau Yang Maha Mengetahui segala sesuatu
Doaku, semoga dia tercipta untuk ku
Semoga aku bertemu jodoh dengan dia
Kerana..Dia pilihan ku..

Selasa, 21 Julai 2009

Couple itu HARAM

Bismillahirrahmanirrahim..


EPISOD 1

"Pehh..cun siot !", kata si A sambil membuat bunyi cencurut laut Antartika.

"Ni kalo jadi bini aku ni tak kuar umah la aku nampaknye", kata si B pulak sambil mengenyit-ngenyit matanya yang hanya terbuka setengah sentimeter (cm).

"Huiyyo.. (terkesima)", tak lepas pandangan si C melihat si dia yang terkinja-kinja di tepi jalan. Hampir sahaja cecair yang mengandungi enzim amilase di mulutnya terkeluar daripada tempat tadahan.

Beginilah respon kawan-kawan kita apabila melihat perempuan cantik. Pantang lalu depan mata, habis semuanya dipanah oleh mata-mata liar. Mungkin mereka tidak tahu bahawa panahan mata itu akan berbalik pada mereka sendiri akhirnya. Sedih. Kadang-kadang aku sendiri tak kuat untuk istiqomah dalam hal-hal macam ni. Tapi sentiasalah berdoa moga-moga diberi kekuatan oleh Allah S.W.T. supaya kita dapat melawan dan mendidik nafsu yang tak pernah lesu.

Menjaga pandangan bukannya perkara yang boleh dipandang remeh. Ia merupakan suruhan Allah S.W.T. kepada setiap individu Muslim yang beriman.

Firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nur ayat 30 :

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan."

Juga dalam Surah An-Nur ayat 31 :

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.."

Jika seseorang individu itu tidak menjaga pandangannya, mungkin dia akan terjebak ke dalam maksiat yg lebih besar iaitu ZINA. Kalau ditafsirkan pemerhatian dan mungkin sedikit pengalaman aku, sequence ke arah zina ni lebih kurang begini:

Pandangan > Lintasan hati > Khayalan > Keinginan > Tindakan > Zina kecil > Zina besar


Sebenarnya sequence ni memang reliable jika difikir secara logik akal yang sihat. Malah, ramai ulama-ulama dan ustaz-ustaz yang berpendapat sama seperti pendapat yang aku terangkan di atas tu, iaitu zina besar bermula daripada zina kecil, yang akhirnya bercambah menjadi dahan-dahan maksiat yang merimbun. Zina bermula dengan pandangan yang tidak terkawal. Daripada pandangan sedemikian, kita semakin mendekati zina.


Untuk lebih faham lagi konsep 'mendekati' di sini, kita ambil satu contoh. Katakan Ali ingin ke kedai yang jaraknya, let say 1220 langkah. Apabila Ali melangkah setapak keluar daripada rumah itu sahaja dia sudah dikira mendekati kedai tersebut, setuju? Jadi, pandangan yang tidak terkawal itu ibarat langkah pertama ke arah zina.

Part 'Tindakan' tu dah bersepah di merata-rata tempat. Paling berlambak di shopping complex & universiti. Untuk pengetahuan anda, disekeliling aku pun ada sebenarnya. Apa benda 'Tindakan' yang aku maksudkan ni sebenarnya? "COUPLE".full stop.

Jika pandangan sahaja dah dikhuatiri akan membawa kepada zina, apatah lagi bercouple? Orang yang berakal sihat sepatutnya tiada masalah nak jawab soalan ni.

Aku anggap mereka yang bercouple ini tidak tahu hukum yang sebenarnya. So, artikel ni adalah bertujuan untuk berkongsi dan MEMBERI TAHU. Jika ada sesiapa yang tengah bercouple atau hampir nak bercouple,dan merasakan maklumat dalam artikel ni akan menghalang niatnya untuk bercouple, maka hati-hati. Syaitan itu sentiasa mengajak ke arah kejahatan. Jika ingin mengikut nafsu syaitan juga, then go for it. Tapi ingat azab Allah di akhirat nanti takkan ada penangguhan.Selepas membaca artikel ni fikirlah kenapa Islam mengharamkan gejala 'couple' sebelum nikah.

( Artikel yang dimaksudkan penulis : JANGAN DEKATI ZINA smiley-cool )

EPISOD 2

InsyaALLAH dalam Episod 2 ni aku nak tekankan lagi mengenai penjelasan 'mendekati' atau 'menghampiri' kerana aku merasakan bahagian ni penting untuk kita fahami betul-betul supaya kita dapat mematuhi perintah Allah S.W.T. dalam surah Al-Isra' ayat 32 iaitu :

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."

Terang lagikan bersuluh. Kekejian perbuatan zina ini bukan dinyatakan oleh manusia, tetapi dinyatakan oleh Yang Maha Mengetahui. Apabila Allah S.W.T sendiri mengatakan zina ini keji dan satu jalan yang buruk, sudah pasti kecelakaannya maha dahsyat.

Berbalik kepada penjelasan tentang 'menghampiri', sedangkan menghampiri zina sudah diharamkan, inikan pula melakukannya. Contoh menghampiri zina adalah seperti melihat gambar lucah, berdua-duaan lelaki dan wanita ajnabi, pergaulan bebas antara jantina berlainan (ikhtilat) dan juga melihat aurat orang lain.

(contoh yang paling banyak : berjalan berdua-duaan dan beriring-iringan. Walaupun tak berpegangan tangan, tapi amat menjelikkan)

Kuatkanlah hati kita wahai kawan-kawanku sekalian, supaya kita berupaya menegakkan kebenaran yang satu ini. Jangan sesekali diikut tuntutan nafsu. Jangan sesekali patuh pada ajakan syaitan laknatullah dan tertipu dengan tipu daya mereka. Ingatlah bahawa mereka pernah menipu moyang kita, Nabi Allah Adam a.s. dan Hawa.

Surah Al-A'raf ayat 20 :

"Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) dia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil dia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)."

Jika kita lihat Surah Al-A'raf ayat 19, Allah telah berfirman kepada Adam dan Hawa supaya jangan MENGHAMPIRI sepohon pokok di syurga. Larangan sebenarnya adalah supaya Adam dan Hawa tidak memakan buah pokok tersebut.

"Dan wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim."


Merujuk kepada larangan Allah S.W.T. kepada kita supaya tidak menghampiri sesuatu itu, amat jelas bahawa perkara yang dilarang itu dapat memberi mudarat yang besar sehinggakan menghampirinya pun tidak dibenarkan! Ini bertujuan untuk menghindari perkara-perkara mungkar sehingga ke akar-akarnya. Lihatlah betapa kasihnya Allah kepada kita.

Adakah kita ingin mengulang kesilapan Adam dan Hawa sedangkan pengajaran sudah ada di depan mata? Bodohlah orang-orang yang membutakan mata hatinya tanpa ingin mengambil pelajaran.

Mengikut kaedah usul fiqh, sesuatu yang membawa kepada haram, maka hukumnya haram. So, equation ber'couple' sebelum nikah adalah :

couple = menghampiri zina
menghampiri zina = haram
maka, couple = haram (very simple equationsmiley-wink )

Tapi, juga ingin diingatkan di sini, apabila ber'couple' sebelum nikah itu hukumnya haram, bukanlah bermakna kita boleh bergaul dengan jantina berlawanan sesuka hati dengan menjadikan alasan "kami tak bercouple, kami hanya berkawan".

Berbalas-balas mesej di YM dan tidak lupa mengucapkan selamat pagi dan malam kepada 'kawan'nya yg satu itu diselangi dengan perbualan telefon yang berpanjangan tanpa membicarakan hal-hal yang penting bukanlah jaminan bahawa kita tidak mendekati zina. BUKAN PERKATAAN 'COUPLE' ITU YANG MEMBUATKAN HUKUMNYA HARAM MELAINKAN PERBUATAN KETIKA BER'COUPLE' ITU SENDIRI. Jika anda tidak ber'couple' sekali pun anda dilarang bergaul bebas tanpa batas syara' antara lelaki dan wanita ajnabi.

Ada suatu ketika seorang kawan mempersoalkan tentang bagaimana hendak mengenal calon suami/isteri jika tidak ber'couple'. Ingatlah bahawa Islam itu bersifat syumul. Tidak ada suatu hal pun tidak diajar oleh Islam. Islam telah pun menyediakan garis panduan yang paling sempurna tanpa melibatkan maksiat dalam hal berkaitan mengenali pasangan untuk tujuan pernikahan.

Amat menyedihkan apabila orang Islam sendiri yang menanyakan soalan sebegini. Ia tidak sepatutnya berlaku. Apa ertinya kita menganut Islam jika kita tidak mengetahui ajaran-ajarannya?

Tapi tidak mengapa, inilah tujuan saya menulis tulisan sebegini untuk berkongsi ilmu dan memberitahu. Untuk soalan tadi, kita sambung seterusnya...


EPISOD 3: Cara-cara mengenali pasangan selain daripada ber'couple'.

Sebagai agama yang paling sempurna dan satu-satunya agama yang diredhai Allah, Islam telah pun menggariskan panduan untuk diikuti oleh penganutnya berkenaan hal pra-perkahwinan. Cara yg dianjurkan Islam untuk pasangan yang ingin berkahwin kenal-mengenali adalah melalui cara pertunangan.

Tapi amat menyedihkan apabila paradigma masyarakat tentang konsep pertunangan sudah tersimpang jauh dari kebenaran. Buktinya, pertunangan yang sepatutnya dijadikan tempoh untuk lelaki & wanita HANYA saling mengenali telah dijadikan 'lesen' untuk pasangan tersebut berdua-duaan tanpa mahram, ibarat pasangan yang sudah bernikah. Konsep ini salah sama sekali !

Memetik kata-kata Ustaz Hassan Din dalam Al-Kuliyyah di bawah topik "Jodoh" di TV3 bertarikh 28 Julai 2006 berkenaan konsep pertunangan dalam Islam, beliau berkata, "Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan wanita akan saling mengenali antara satu sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan."

Sebagai contoh, katakan Superman sudah bersedia untuk berkahwin (maksud 'bersedia' di sini adalah bersedia dari segi kewangan, keadaan, mental serta fizikal). Dan sekarang adalah masa yang sangat sesuai dan ideal untuknya mendirikan rumah tangga. Pada masa yang sama juga dia sudah mempunyai calon sendiri, katakan si 'Cinderella' (bukan nama sebenar).

Superman berhasrat untuk memperisterikan si 'Cinderella'. Superman yang sangat faham akan konsep pertunangan pun terus berjumpa dengan kedua ibu bapa si 'Cinderella' dan menyatakan hasratnya untuk menyunting bunga rafflesia di taman (merisik). Apabila ibu bapa si 'Cinderella' sudah bersetuju dan si 'Cinderella' juga sudah bersetuju apabila diberitahu oleh ibu bapanya, Superman pun menghantar rombongan keluarganya untuk meminang si 'Cinderella'. Tidak timbul langsung hal-hal maksiat kan? Kan cantik tu. Dan apabila si 'Cinderella' sudah menjadi tunangan Superman, maka HARAM bagi lelaki lain meminang si 'Cinderella', walaupun lelaki itu adalah 'Professor Gadget' (bukan nama sebenar).

"Lelaki boleh la, kalau perempuan? Takkan perempuan nak merisik lelaki pula, perigi cari timba namanya tu". Mungkin inilah suara-suara yang bakal berkumandang memberikan respon. Ok. Mari kita sama-sama menelusuri kembali sirah perkahwinan agung, Muhammad S.A.W. dan Siti Khadijah r.a.. Saya yakin ramai yang akan mengakui bahawa perkahwinan agung ini dimulakan oleh Siti Khadijah r.a. dahulu. Ini telah pun diajar dalam subjek Sirah di sekolah agama. Pada mulanya, Siti Khadijah r.a. menyatakan hasrat hatinya kepada pakcik Rasulullah S.A.W. iaitu Abbas, agar merisik baginda.


Setelah baginda bersetuju, barulah keluarga baginda menghantar rombongan meminang Siti Khadijah r.a.. Begitulah yang diajarkan sirah kepada kita. Lalu, apa salahnya jika wanita yg memulakan dahulu? Malah wanita sebegini lebih mulia daripada wanita yang hanya menunggu dipinang oleh putera raja kayangan.

Ustaz Hassan Din juga turut menegaskan bahawa pasangan yang bertunang diharamkan bergaul bebas seperti suami isteri. Mereka masih tetap terikat dengan batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi. Tempoh bertunang hanyalah tempoh kenal-mengenal, bukannya tempoh melayan-layan perasaan cinta. Beliau menambah,

"Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak."

Jika konsep pertunangan ini dilihat dengan mata hati yanang diselaputi iman dan taqwa, akan terzahir berbagai hikmah yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Bijaksana. Selain menghindari maksiat, pertunangan juga dapat memelihara maruah kedua-dua keluarga yang terlibat. Kalau pun pertunangan diputuskan, kedua-dua pihak keluarga masih dapat meneruskan silaturrahim yg sudah terbina, tanpa rasa dendam dan benci.

Maka dengan lahirnya ketiga-tiga episod ni, diharap jelaslah kepada kita serba sedikit tentang hukum ber'couple' sebelum nikah dan bagaimana cara yang sebenarnya untuk kita mengenali pasangan untuk tujuan pernikahan.

Dengan ini, saya menyeru diri saya sendiri dan kawan-kawan sekalian supaya tinggalkanlah maksiat cinta nafsu syaitan laknatullah ini secepat mungkin. Bagi mereka yang ber'couple' tu, cepat-cepat lah break up. Kita ni dah la amal tak banyak, sembahyang pula ada yang tinggal. ditambah pula dengan dosa 'couple' lagi (dosa berdua-duaan, zina mata, zina telinga, zina tangan, zina kaki dan zina hati). Dibuatnya esok mati,macam mana? Memanglah dosa masing-masing tanggung, tapi jika dah mati orang lain juga yang tolong mandikan, kapankan, tanamkan.

Dan janganlah pula kita menjadi orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya. Firman Allah dalam Surah Al-Jaathiyah ayat 23 :

"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?"

Apabila sudah diketahui hukum-hukum Allah, maka hendaklah kita patuhinya. Yang haram segera ditinggalkan. Harap kita tidak menjadi seperti mereka yang di dalam firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Jaathiyah ayat 7-11 :

Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa; (7) Yang mendengar ayat-ayat penerangan Allah sentiasa dibacakan kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah dia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (8) Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat penerangan Kami, dia menjadikannya ejek-ejekan; mereka yang demikian keadaannya, akan beroleh azab yang menghina. (9) Di hadapan mereka (di akhirat kelak) ada Neraka Jahanam (yang disediakan untuk mereka) dan apa jua yang mereka usahakan, tidak dapat menyelamatkan mereka sedikit pun; demikian juga yang mereka sembah atau puja selain Allah, tidak dapat memberikan sebarang perlindungan dan (kesudahannya) mereka akan beroleh azab seksa yang besar. (10) Al-Quran ini ialah hidayat petunjuk yang cukup lengkap dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (11)

Bagi mereka yang mungkin sudah agak lama mengamalkan maksiat cinta ini dalam kehidupan seharian mereka, mungkin agak sukar untuk meninggalkannya. Namun ingatlah firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 :

"..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Dan semoga kita semua diberi kekuatan iman dan taqwa oleh Allah S.W.T. untuk menegakkan Islam di dalam diri kita. Kerana ramai kawan-kawan kita di luar sana yang sudah tahu halal haram tapi masih melakukan yang ditegah mungkin disebabkan mereka tak punya kekuatan. Dan percayalah kepada qada' dan qadar Allah S.W.T., jika ada jodoh takkan ke mana, jika bukan di dunia yang sementara ni, di syurga yang kekal abadi Insya Allah. Tapi jika bukan jodoh, berkorbanlah nyawa hatta anda mempunyai 100 nyawa sekalipun, nescaya takkan kesampaian.


Wallahua'lam.

Ahad, 19 Julai 2009

Islam dan Hiburan



Naluri Manusia

Allah itu Maha Berkuasa sifatNya. Memang tidak dapat disangkal akal lagi akan sifatNya itu. Dalam setiap kejadian yang diaturiNya, pasti ada keindahanNya tersendiri. Setiap kejadian susunan Allah, ada nur disebaliknya. Setiap penciptaan ada haknya tersendiri. Islam ini adalah agama yang syumul. Ya, sebuah agama yang 'perfect' untuk setiap manusia.

Setiap manusia di muka bumi ini, ada naluri tersendiri. Pelbagai jenis naluri yang timbul dari dalam manusia yang nun jauh tersembunyi di lubuk hati setiap manusia. Naluri ingin memiliki rumah bagaikan istana tersergam megah di tepian pantai yang indah, Naluri ingin memiliki isteri yang cantik, tidak jemu dipandang mata dan menyejukkan hati, Naluri yang ingin memiliki harta setinggi Gunung Kinabalu agar dapat dibelanjakan di jalan Allah, Naluri ingin berpesta dan berpoya dengan iringan muzik-muzik yang mengasyikka..Ya, terlalu banyak jika hendak disenaraikan, apa yang naluri manusia inginkan.

Seperti firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 14;

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)."

Dari ayat di atas, Allah yang Maha Mengetahui itu sudah tahu apa yang diingini oleh setiap manusia yang diciptaNya. Oleh itu, Allah menjadikan agama Islam itu sendiri agama yang tidak menolak naluri manusia. Agama yang bersesuaian dengan naluri manusia.

Allah menegaskan dalam firmanNya pada surah Al-A'raf ayat 32;

"Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang Telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat." Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang Mengetahui."

Lihatlah, Allah menjadikan perhiasan di dunia ini yang amatlah bertepatan dengan naluri manusia. Namun, atas kebijaksanaan Allah, maka, Allah menjadikan batas-batas untuk setiap naluri manusia itu. Kenapa Allah menetapkan batas-batas berkenaan?, sedangkan Allah telahpun mengetahui akan kehendak dan naluri manusia itu sendiri? Itulah yang menunjukkan Allah itu Maha Mengetahui, jika tiada sekatan serta batasan yang terkandung dalam buku perintah Allah itu, nescaya, ramailah manusia-manusia yang menuju ke arah kerosakan.

Islam dan Seni Hiburan

Allah tidak melarang kita untuk berhibur. Selagi hiburan itu tidak mendatangkan kelalaian dalam kehidupan kita, maka, hiburan itu perlu. Tanyalah mana-mana ustaz di dalam dunia ini, Apa hukumnya berhibur? Pasti akan keluar jawapan seakan-akan begini, "Berhibur? Dalam Islam berhibur itu boleh selagi tidak melanggar syariat, tidak melalaikan dan tidak menjerumus kepada kemaksiatan" Perkembangan dunia hiburan dalam Islam berkembang luas selepas berkembangnya empayar-empayar Islam menguasai dua pertiga dari bumi ini.

Ketika zaman sebelumnya, umat Islam ketika itu kurang mengambil bahagian dalam hiburan kerana masing-masing mempersiapkan diri untuk melebarkan agama Allah dan memperluaskan empayar Islam. Apabila empayar Islam sudah merebak luas, maka, pertembungan budaya dengan empayar-empayar lain seperti empayar Parsi, Empayar India, Empayar Rome dan sebagainya terjadi. Akibat pertembungan empayar inilah, seni hiburan mula menular dalam hati nurani umat Islam ketika itu.

Seni hiburan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ia semakin tersebar luas dengan sendirinya dari hari ke hari. Selepas seni hiburan semakin kukuh dalam naluri manusia di saat itu, bermulalah episod kesedihan yang sangat tragis dalam sejarah Islam. Empayar-empayar Islam mula roboh satu demi satu, seperti robohnya rumah yang dimakan anai-anai. Islam mula jatuh disebabkan manusia melebihkan seni hiburan itu dari syariatNya.

Tersebarnya seni hiburan itu sehingga hari ini dan tika ini. Seni yang dahulunya hanya dijadikan halwa telinga semata-mata, kini, bagaikan darah daging manusia. Umpama oksigen untuk tubuh badan manusia. Manakan tidak sebagai oksigen, kerana hiburan itu sendiri sudah menjadi sumber pencarian rezekinya.

Terlalu tinggi rasanya saya mendefinisikan seni sebagai oksigen dalam menggambarkan betapa perlunya seni hiburan itu dalam setiap tubuh-tubuh manusia masakini. Manakan tidak, ada sahaja manusia yang sanggup melafazkan ayat sebegini, "Ya Allah, mati kebosanan la aku macam ni dah la TV tak der, radio pun tak der!" Bayangkan! tanpa hiburan, dia boleh MATI KEBOSANAN!




Cubalah kita perhatikan hiburan di zaman ini. Dari hiburan yang tertutup seperti disco, pub, pusat karaoke, kelab malam dan sebagainya sehinggalah hiburan yang dianjurkan secara terbuka; Konsert Jom Heboh, pesta muda-mudi, realiti TV, seperti Akedemi Fantasia, Mentor, One in a Million dan sebagainya lagi. Begitu banyak bukan? Jika hendak dihitung, entah bila akan kesudahannya. Sehinggakan dalam perlaksanaan hiburan sebegini menelan belanja jutaan ringgit sekalipun, ianya akan tetap dijayakan!

Sampai begitu sekali bahana seni hiburan masa kini. Ya, hiburan masa kini..yang terlalu jauh membawa pergi roh-roh Islam ke dalam hati dan naluri manusia. Seni-seni hiburan ini bagaikan kanser didalam badan manusia. Dimana ia semakin merebak dan memusnahkan anggota badan yang lain sedikit demi sedikit. Bermula dengan 'hiburan ringan-ringan' seperti nasyid, kerana terlalu banyak lagu-lagu yang ber'title'kan nasyid menyampaikan mesej berbentuk kecintaan adam dan hawa, menyebabkan hati yang lemah mula berubah ke arah lagu yang mendayu-dayu. Seperti kata anak muda kini, 'lagu meleleh-leleh' atau 'lagu jiwang karat'. Kemudian, naluri semakin advance, dendangan lagu-lagu tajaan Barat mula menjadi suntingan. Nyanyian masih lagi 'jiwang karat', namun liriknya semakin ke'barat'an. Nyanyian BackStreet Boys, N'sync dan boy band lain mula menjadi siulan harian. Apabila hati sudah memuja penyanyi-penyanyi sedemikian, kekabusan kegelapan menyelubungi hati, bermulalah kekerasan hati yang membawa kearah lagu-lagu bersifat keras! Punk, Skin Head, Black Metal dan lain-lain mula bertakhta dihati manusia. Maka terjadilah ritual-ritual yang menyesatkan akidah! Astaghfirullah!!. Atas dasar seni hiburan sebeginilah, maka produktiviti manusia semakin merosot dan menjunam ke bawah.

Kerana hiburan inilah, seorang pelajar tidur lambat untuk mengundi peserta kegemarannya dalam rancangan Mentor, seterusnya menyebabkan dia kurang fokus di sekolah kerana mengantuk. Kerana hiburan inilah, seorang pekerja lewat ke tempat kerja, kerana bangun lambat selepas semalaman melihat konsert Jom Heboh. Kerana hiburan inilah, seorang mahasiswa 'terpaksa' ponteng kelas untuk beratur panjang demi memperolehi tiket bola perlawanan Malaysia menentang Manchester United. Kerana hiburan inilah, seorang isteri 'terlupa' masak untuk suaminya yang baru pulang dari kerja kerana kesedihan melampau melihat Diari Akademi Fantasia. Kerana hiburan sebeginilah, seorang anak mengingkari arahan ayahnya dan melewat-lewatkan solat Maghrib kerana menonton rancangan Sin Chan dan dituruti rancangan Doraemon di kaca TV. Kerana hiburan inilah, seorang remaja perempuan hilang sifat malunya kerana bersesak-sesak dalam gerombolan manusia ketika menonton konsert Jason Mraz suatu ketika dahulu. Kerana hiburan inilah, sepasang remaja hilang pertimbangan agamanya ketika menonton tayangan wayang 'Drag Me To Hell' atau 'Angels and Demons' dalam kegelapan sehinggakan mereka 'membuat wayang' mereka sendiri kerana kebosanan jalan ceritanya. Kerana hiburan inilah, seorang pelajar telah mengkianati amanah seluruh umat Islam apabila dengan duit zakat yang diperuntukkan untuknya menuntut ilmu, telah dibelanjakannya untuk membeli CD terbaru 'Laskar Pelangi'. Kerana hiburan inilah, seorang pemimpin membelanjakan harta anak-anak yatim, harta ibu-ibu tunggal, harta para musafir di jalan Allah dan harta-harta orang fakir dengan menaja Formula 1, mendirikan Litar Perlumbaan Sepang bertaraf dunia dan menubuhkan Malaysian Philharmonic Ochestra. Kerana hiburan inilah, seorang remaja lelaki bertubuh sasa leka menyanyikan lagu 'Jai Ho' dari iPodnya sambil duduk di seat dalam komuter sehingga 'tidak nampak' seorang ibu yang sarat mengandung sedang berdiri dihadapannya kerana tidak memperolehi tempat duduk. Kerana hiburan inilah, sekumpulan manusia 'terlepas' solat Maghrib kerana tayangan Tansformer 2: Revenge of The Fallen bermula pada pukul 1910 dan memperolehi tempat duduk nun jauh dibelakang. Kerana hiburan inilah, seorang lelaki sanggup meninggalkan solat berjemaah di masjid atau surau kerana ingin menonton tayangan Nur Kasih dan Ceplos di TV.

Tangani Masalah Seni Hiburan

Cuba kita lihat, betapa banyaknya keburukan dalam seni hiburan ini. Justeru, hendaklah kita bersama-sama mengembleng tenaga untuk merubah gejala negatif agar menjadi positif. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam! Esok, insyAllah lebih baik dari hari ini.

Terdapat banyak cara untuk kita semua berusaha menangani masalah seni hiburan ini. Antaranya adalah:

i) Solat hiburan UTAMA

Seperti sabda Nabi Muhammad SAW kepada Bilal, "Tenangkan dirimu ketika solat ya Bilal". Cuba kita lihat, Rasulullah SAW berpesan kepada Bilal, jika mahukan ketenangan, jadikan solat itu sebagai caranya. Bukan dengan mendengar lagu-lagu yang mengasyikkan atau melancong ke tempat-tempat peranginan yang mendamaikan.

ii) Majlis hiburan yang tidak melalaikan

Dalam bab ini, ada sedikit pujian dari saya buat kerajaan Selangor sekarang. Kenapa? Dahulu, kawan saya ada pergi 'satu majlis' anjuran kerajaan Selangor di Stadium Melawati. Berdasarkan ceritanya, program hiburan itu menarik kerana susunan majlisnya. Bermula dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan solat Hajat dan sedikit tazkirah. Kemudian Solat Isyak berjemaah. Selepas selesai, MB Selangor memberikan
sedikit ucapan dan konsert nasyid berlangsung selepas itu. Yang menarik perhatian saya, sekurang-kurangnya, konsert itu tidak menyebabkan pengunjung melewat-lewatkan atau 'terlepas' untuk bersolat.

iii) Tiada percampuran lelaki dan perempuan

Kalau yang ini pula, saya memuji pucuk pimpinan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan. Tanpa perlu saya bercerita panjang, rasanya sudah ramai yang mengetahui akan konsert-konsert yang diadakan di Kelantan. Bagaimana pentadbir-pentadbir Kelantan memisahkan pengunjung lelaki dan perempuan agar tiada pergaulan bebas ketika konsert berlangsung.

iv) Tanam kesedaran Islam dalam Artis

Kalau artis-artis ini mula memahami Islam, Tiada sudah penyanyi-penyanyi wanita selepas ini. Bukankah Islam melarang wanita melunak-lunakkan suara untuk yang bukan 'selayaknya'. Jika artis-artis mula mengenali Islam, sudah pasti tiada lagi lakonan-lakonan 'bermutu' artis-artis Malaysia ketika berlakon. Kalau itu yang Islam mahukan, kenapa perlu dipersoalkan lagi? Adakah kerana kita mahukan seni hiburan itu, maka maksiat tidak dapat dipisahkan lagi? Banyak lagi seni hiburan yang terhidang diluar sana yang halal, terpulang pada kita untuk memilihnya atau menolaknya. Ada sahaja drama-drama berunsurkan islamik dari dahulu lagi.

**Nota - Pada hari Jumaat lepas, aman sedikit terkilan dengan rancangan TV3, Nur Kasih. Apabila dalam dialog artisnya itu, terdapat ayat sebegini. Seorang artis berlakon sebagai minah saleh menegur kawan perempuannya ketika hendak membuat keputusan berkahwin. "why you choose him, you are not Malay or ISLAM, so whay you want to marry him?" selepas itu dibalas oleh pelakon wanita itu dengan jawapan selambanya, "So what if i'm not Malay or Islam, but I love him ok?" Astaghfirullah.**

v) Pemantauan dan penguatkuasaan pentadbiran

Dalam hal ini, kerajaan patutlah menghadkan lesen-lesen pembukaan disko dan pusat hiburan serta memantau operasi sebegini secara berterusan agar kemaksiatannya boleh dicegah. Bajet untuk sektor hiburan hendaklah dikurangkan agar dapat digunakan pada saluran yang lebih memerlukan. Realiti-realiti televisyen dalam mencari bakat-bakat baru hiburan perlulah dikurangkan sebaliknya diganti dengan realiti TV yang mencari bakat-bakat baru dalam bidang yang dapat memberi kebaikan kepada manusia, negara dan Islam itu sendiri seperti bakat dalam mencipta sesuatu yang baru.

vi) Sistem pendidikan yang berkesan

Bagi saya, inilah sumber tunjang dalam merubah sesuatu. Sistem pendidikan yang berkesan bagaikan jantung kepada tubuh badan kita. Jika jantung itu berfungsi dengan baik dan tiada cacat celanya, bekalan darah dapat dihantar ke setiap anggota badan yang lain. Bekalan oksigen dalam darah, dapat dipam dan dihantar dengan tertib kepada otak kita. Jika pendidikan dijalankan dengan betul dan mengikut syariat pada landasannya, nescaya insyAllah, semua masalah yang ada sekarang, pasti dapat dihindari dan ditangani. Lagipun, jika kita hendak membentuk sesuatu ketamadunan seseorang, mestilah bermula ketika mereka masih kecil lagi. "Meluntur buluh biarlah dari rebungnya" InsyAllah, jika kita semua memperbetulkan seni hiburan ini, nescaya tidak mustahil jika suatu hari nanti, seni hiburan dapat merubah wajahnya dari melalaikan dan membinasakan kepada suatu kebudayaan yang menjadi jati diri kita disamping menjadikan kita semakin mengingati Allah dan RasulNya.


Mahkamah Hati

Bukankah kita sering diperingatkan, berani kerana benar, takut kerana salah? Benar itu menjadi sumber keberanian. Salah itu punca ketakutan. Jangan dibiarkan hidup dalam ketakutan, akibat terus menerus melakukan kesalahan.

Bersalah menimbulkan rasa bersalah. Rasa bersalah itu sangat menyeksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat. Bersalah dengan manusia pun sudah cukup meresahkan, apatah lagi bersalah kepada Allah.

Mahkamah pengadilan itu ada tiga. Pertama, mahkamah di dunia, yang mana saksi, pendakwa dan hakimnya adalah manusia seperti kita juga. Kekadang, dengan kebijaksanaan dan kelicikan, mahkamah dunia ini dapat diperdayakan. Telah sering kali yang bersalah terlepas, sebaliknya yang benar pula terhukum. Justeru, masyhurlah kata hukama, tidak ada keadilan yang muktamad dan mutlak di dunia ini. Jerung sering bolos, bilis sahaja sering di gilis.

Kedua, mahkamah di akhirat, yang hakimnya Allah yang Maha Adil. Di sana nanti, yang benar akan terserlah, yang salah pasti kalah. Akan ketara segalanya walau bagaimana pandai sekalipun bersilat kata. Tidak payah didatangkan saksi atau pun barang bukti kerana apa yang ada pada diri akan "hidup" untuk menjadi saksi. Kulit, tangan, kaki dan segala anggota akan bercakap. Rupa-rupanya "body" yang kita jaga, elus dan belai kini, akan mendakwa kita di mahsyar nanti. Dan di sanalah nanti akan tertegak keadilan hakiki. Ketiga ialah mahkamah hati. Saksi, pendakwa dan hakimnya adalah hati sendiri. Hati kecil yang sentiasa bersuara walau cuba dipendamkan oleh tuannya. Protesnya terhadap perlakuan dosa sentiasa bergema dalam rahsia. Fitrahnya akan menjerit. Itulah jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya ke penjara jiwa yang lebih menyakitkan. Ya, dosa boleh disembunyikan daripada pengetahuan manusia, tetapi tidak akan mampu disembunyikan daripada Allah dan hati sendiri.

Kita mungkin mampu menipu manusia, tetapi kita tidak akan mampu menipu Allah dan diri sendiri. Jadi, ke mana lagi kita ingin menyembunyikan diri ketika dipanggil untuk dibicarakan di mahkamah hati? Setia masa, setiap ketika dan di setiap suasana hati kecil akan bersuara. Tidak tega dengan kesalahan, tidak rela dengan kemungkaran. Dosa itu derita. Kerana yang salah atau dosa itu sangat memberi kesan pada jiwa. Bila kita berdosa hakikatnya kita melakukan dua ‘perlanggaran'. Pertama, perlanggaran ke atas fitrah hati yang tabii. Kedua, perlanggaran terhadap Allah, zat yang Maha Tinggi.

Dua perlanggaran ini sudah cukup meragut ketenangan. Jangan dilawan fitrah sendiri yang menyukai kebaikan dan membenci kejahatan. Fitrah ini adalah kurniaan Allah, yang dengannya seseorang boleh menerima pengajaran dan didikan. Jika fitrah sukakan kebaikan itu disubur, dididik dan dipimpin, maka jalan hidup akan harmoni dan bahagia. Sebaliknya, jika fitrah yang baik itu dibiarkan, diabaikan apatah lagi jika ditentang, maka tidak akan ada lagi kebahagiaan dan ketenangan.

Jadi, hati-hati menjaga hati, agar hati itu tidak mati! Rasulullah SAW sangat arif tentang hakikat ini. Justeru, apabila beliau ditanyakan, apakah itu dosa? Baginda menjawab: "Dosa adalah sesuatu yang menyebabkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihat kamu melakukannya." Oleh itu, awaslah wahai diri. Dosa itu adalah racun. Bahananya akan merosak secara perlahan atau mendadak.

Kata ulama, mujurlah dosa itu tidak berbau, jika tidak, tidak akan ada siapa yang sudi mendekati kita. Justeru, sering-seringlah bersidang di mahkamah hati. Selalulah bertanyakan hati kecil sendiri. Hati itu tidak akan berdusta selagi ia tidak mati!


Baligul anni walau ayath.....

Agak pelik tajuk kali ini tapi itulah realitinya, sanggupkah kita menyahut seruan Rasulallah untuk menyampaikan darinya walau sekadar sepotong ayat. Dah jadi kelaziman umat manusia kalau bab memuji no satu tapi bila tibe bab mencegah yang mungkar semua kecut perut, tak payah cakap orang lain la diri sendiri pun sama je.

Alasan yang paling muak dengar tu takut sakitkan hati orang yang disayang tak kira lah family ke, kengkawan ke jauh sekali orang luar yang sepatutnya diakui sedara. Sedar tak sedar sebenarnya dengan membiarkan mereka begitu kita bukan sahaja menyakiti hati malahan seluruh struktur diri mereka. Kawan yang baik ialah mereka yang saling nasihat-menasihati kearah kebenaran. Tak jadi hal kalau hatinya sakit hari ini jangan nanti waktu meniti siratul mustakim kaki ditarik kerana sindrom berat mulut masa hidupnya dulu.

Kenyataan ini bukan merujuk kepada sesiapa baik hidup mahupun yang sudah meninggal dunia, malah lebih kepada tarbiyah untuk diri sendiri agar sentiasa berada didalam redha Illahi...

Wallahualam

Selasa, 14 Julai 2009

Aku Sepasang Kasut Seorang Da'ie

Namaku SiPun, aku adalah dari bangsa slipar Jepun. Jenis-jenis lain, juga yang selain daripadaku dijual di merata kedai sukan. Aku telah dibeli semenjak setahun yang lepas. Semenjak itu hidupku mula berubah. Aku menjangkakan tentulah kebanyakan daripada hayatku akan kuhabiskan di trek atau di gimnasium. Tapi jangkaanku meleset.

Tuanku lebih kerap membawa aku ke masjid-masjid dan ke rumah kawan-kawannya. Aku sempat mencuri-curi dengar kegiatannya dalam kelompok tersebut. Itulah yag dinamakan
usrah rupanya. Apa yang ingin ku ceritakan di sini mungkin berguna kepada kalian semua. Berikut adalah pemerhatianku berkenan tuanku. Dia seorang da`i, kekagumanku dengan usahanya telah menginsafkan aku untuk mncoretkan warkah ini.


Dahulu, tuanku hanya berseorangan. Aku selalu ke masjid bersamanya seorang. Di sana beliau mengabiskan masa mendengar ceramah agama, tak cukup dengan itu, habis kedai-kedai buku agama kami kunjungi. Sememangnya dia seorang yang
obsessed dengan ilmu pengetahuan. Tafsir al-Qur'an memang selalu dibacanya. Ini membanggakan aku, kerana dapat berbakti kepada seorang yang cintakan ilmu.


Aktivitiku tidak terhad begitu sahaja, aku juga sering dibawa ke kompleks sukan dan padang bola. Yang peliknya aku mendapat ramai kenalan ketika berada di padang, tetapi sering berseorangan ketika dibawa ke masjid.

Dahulu, ini menjadi aktiviti kegemaranku, kerana dengan ini aku mendapat ramai kawan. Mulanya aku agak pelik dengan situasi ini, tetapi lama-kelamaan ramai kenalanku turut serta setiap kali aku ke masjid. Kini fahamlah aku, tuan aku menggunakan padang bola dan kompleks sukan untuk berdakwah rupanya. Masya Allah! Tak sangka juga, dengan aktiviti sukan tuan aku sempat juga mengajak rakan-rakan ke masjid. Sekarang aku tidak bersendiri lagi. Hampir setiap malam tuan aku akan berkunjung ke rumah rakan-rakannya. Di sini aku mengambil peluang untuk bersama dengan rakan-rakanku untuk bertukar pengalaman. Rakan-rakanku amat mengagumi tuanku. Aku tumpang berbangga.


Usrah berjalan hampir setiap malam. Sememangnya tuan aku tidak kenal erti rehat. Baginya tempat rehat adalah Syurga dan masa untuk tidur adalah di alam kubur. Semua kasut akan senyap setiap kali tuan aku mula berbicara. Kaata-katanya penuh hikmah, setiap isi disokong dengan hadis dan ayat al-Qur'an. Tuan aku tidak banyak bercakap apatah lagi perkara yang sia-sia. Aku dapati rakan-rakan tuanku turut kagum dengan kebolehannya.


Apabila bersama rakan, tidak pernah langsung beliau mencerca rakan yang lain. Jika ada perkara yang hendak ditegurnya akan dilakukan dengan hikmah. Aku lebih banyak mendengar beliau memuji orang berbanding mencerca kesalahan orang.





Kini aku masih berbakti lagi. Aku tahu kalian tentu menganggap tulisanku ini gila dan tidak masuk akal. Akan tetapi renungkanlah kata-kataku ini. Aku mungkin kasut, tetapi suatu hari nanti mungkin Tuhan akan memberikanku mulut untuk berkata-kata, untuk bersaksikan apa yang tuan aku telah kerjakan. Pada saat itu akan aku saksikan pada Tuhan apa yang aku nukilkan pada kalian.


Untuk kalian semua contohilah tuanku. Berdakwahlah dengan cara hikmah. Jangan sekali-kali lari dari masyarakat. Terkadang masyarakat di sekeliling kalian suka bersukan, atau mungkin sukakan hiburan. Ikutlah rentak mereka sebagaimana aku menari mengikut irama tuanku. Dalam berkata-kata hendaklah kalian berhati-hati, jauhilah cerca dan maki, lebihkanlah ukhuwwah dan pujian. Sesungguhnya mad`u suka dipuji. Namun puji biarlah ikhlas.


Apabila berbicara gunakanlah al-Qur'an dan al-Hadis. Jangan kalian ikut sesedap mulut, kelak menikam kalian dari belakang. Tambahkanlah ilmu kalian, maka orang akan mendengar cakap kalian. Bukankah Tuhan menjanjikan darjat yang tinggi untuk orang yang berilmu? Jadilah da`i yang serba boleh. Jangan kalian sekatkan skop dakwah kalian, setakat mengajak ke surau dan masjid. Ingatlah, bersukan, muzik, berjalan, itu semua adalah dakwah bagi kalian. Setapak kalian berjalan, mungkin bisa mencampak hidayah ke dalam diri teman kalian.


Oh! Aku memang tidak layak untuk menasihat kalian. Apatah lagi aku hanya sepasang kasut. Kalian tidak perlu memaafkanku kerana aku hanyalah kasut. Tetapi maafkanlah tulisan aku kira aku cuba mengajar kalian, makhluk yang terbaik di sisi Allah. Sebelum lidah kasutku ini bergetar deras, cukuplah dulu nukilan dariku, sepasang kasut seorang da`i.