Jumaat, 17 April 2009

Jangan Merajuk Wahai Da'ie

Hidup ini menuntut mujahadah berterusan. Setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu di usahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena. Begitu juga dalam kesungguhan mengulangkaji pelajaran, kesabaran melayani kerenah sahabat handai, hinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai Dai'e, mengajak jiwa-jiwa kembali tunduk pada Allah yang Esa. Malah mereka lagi perlu menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa...

Yang pastinya, dalam kesungguhan pasti ada mehnah melanda. Dalam saat seronok mengajak manusia kembali ke jalan Allah, kita terlupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal tutup buka nya ia. Membuatkan kita kecewa dan putus asa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Membuatkan kita terlupa tugas kita hanya pemberi peringatan, sedangkan natijahnya di bawah takdir Allah yang Maha Kuasa. Bak kata pepatah `menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi'. Di saat hati rajuk, mencari hikmah atas apa yang menimpa, Al-Quran menjadi tempat kembali, isinya penuh istimewa, pasti sesuai di setiap keadaan dan masa. Namun, bergantung kepada kesediaan hati itu untuk mengaitkannya dalam kehidupan, mengambil manfaat dari tiap bait Kalamullah...

Siapa sangka, kisah Nabi Yunus a.s yang tidak selalu diceritakan mampu memberi seribu pengertian dalam kehidupan...
"Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina
Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati Ke tepi pantai seorang diri
Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan
Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira
Sedarlah baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya
"

Begitulah kisah seorang Nabi diuji Allah begitu sekali…

Wahai Dai'e Rabbani, cukuplah kisah Nabi Yunus a.s pemujuk diri, jangan diikut rajuk di hati, usah dilayan kecelaruan emosi, tergesa-gesa melarikan diri dari situasi. Melangkahlah dengan penuh hikmah dan kesabaran dalam meneruskan da'wah lillahi. Begitulah di kala Nabi Yunus lari dari kaumnya yang ingkar, rasa marah dan kecewa hingga terlupa tugas beliau menyampaikan ajaran yang hasilnya adalah dari Tuhan.
Menyoroti kehidupan Dai'e, tidak ubah seperti kisah ini, siapalah kita meletakkan hidayah dihati manusia kerana ia adalah urusan Ilahi, hanya usaha yang akan dipersoalkan nanti. Hadamlah kalam Allah apabila Dia berfirman:

"Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan. Katakanlah:
"Aku tidak meminta upah sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya"

(Al-Furqan:56-57)

Dalam kegelapan perut ikan Nun, hati Nabi Yunus a.s mulai bergerak bertasbih kepada Allah, memohon taubat kerana putus asa dengan rahmat Tuhannya sambil berkata:

"Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim"
(Al-Anbiyaa':87)

Dengan ketulusan hati berdoa, mengakui kesempurnaan ketuhanan dari sebarang kekurangan dan kelemahan, mengakui kezaliman diri, akhirnya taubat Nabi Yunus a.s di terima. Allah menyelamatkan beliau dari kecelakaan mati di dalam perut ikan Nun kepada kesejahteraan hidup bersama kaumnya yang kembali kepada jalan Ilahi. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, segalanya mungkin terjadi, asalkan hati jernih mengharap redhaNya. Apa lagi yang Dai'e mahukan selain ketenangan dalam kehidupan seharian. Walaupun penuh ujian, hati penuh taubat mengakui kesalahan…


Inilah Dai'e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan insani. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana tiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan...

Perkahwinan Dengan Muallaf Demi Dakwah


"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah, Allah menciptakan isteri-isteri bagi kamu dari jenis kamu sendiri, agar kamu dapat hidup tenang bersama mereka. Kemudian Allah menciptakan kasih-sayang di antara kamu (antara suami-isteri)" [Surah Ar-Ruum: 21]

Baitul Da’wah adalah istilah yang saya gunakan bagi mengambarkan ikatan perkahwinan antara seorang muslim dengan saudara baru. Salah satu tujuan utama baitul da’wah ini adalah untuk menjaga, membimbing dan mendidik saudara baru untuk lebih memaknakan diri mereka di dalam Islam, dengan satu ikatan yang kuat dan utuh.

Ikatan ini bukanlah suatu peluang untuk berkahwin campur secara suka-suka semata, bahkan ini adalah ikatan yang penuh rasa tanggungjawab dan amanah untuk memberi erti hidup pada memberi kepada mereka yang memerlukannya. Yang paling penting ialah, baitul da’wah ini merupakan salah satu uslub atau manhaj yang kita ambil untuk tujuan dakwah dan mengikat manusia dengan Islam.

Jika gerakan Kristian, Yahudi dan agama-agama lain membuat perancangan yang teratur dan tersusun untuk memerangkap anak remaja kita, pemuda-pemuda mereka sanggup mencucuk jarum cinta di hati anak gadis Islam dan akhirnya terlanjur, lalu mereka mengahwini anak gadis kita setelah berjaya memurtadkannya. Mereka lakukan segalanya adalah semata-mata untuk agama mereka yang mereka yakini.

Maka mengapa tidak kita yang seharusnya lebih rancak dan kitalah sepatutnya lebih terkedepan kerana kita adalah pemegang amanah Islam?

Di dalam sejarah perkembangan Islam di nusantara, salah satu cara Islam berkembang adalah melalui ikatan perkahwinan. Contohnya, antara sultan Melaka dengan Puteri Hang Li Po, antara ulama’-ulama’dan saudagar Islam dengan perempuan Melayu dan sebagainya.

Dakwah itu adalah 3E (Everytime, Everywhere, Everyone) iaitu setiap masa yang kita lalui, dimana sahaja kita berada dan dakwah Islam itu adalah untuk dirasai oleh sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, adat, kepercayaan dan sebagainya.

Islam itu bukanlah untuk sesuatu bangsa sahaja bahkan ia adalah hak semua bangsa untuk dimiliki dan dihayati. Islam itu untuk semua.

Dakwah itu adalah merupakan apa-apa sahaja ruang masa atau rongga peluang yang ada di sekeliling kita, yang mampu kita bolosi, yang mampu kita masuki, yang mampu kita serapi dan yang mampu kita ambil untuk meninggikan, menyebarkan dan mempamerkan kecantikan Islam.

Dakwah itu juga memberi peluang kepada semua manusia untuk memahami, belajar dan cuba untuk menghayati Islam. Tidak ada sebarang sekatan dan halangan bagi sesiapapun untuk mengenali Islam. Oleh itu, dakwah adalah amanah kita; di mana, bila-bila masa dan kepada sesiapa sahaja kita perlu laksanakannya.

Jika perkahwinan itu cara & peluang terbaik untuk Islam, maka laksanakanlah.

Baitul Da’wah di kampus

Di kampus terdapat beberapa kes yang berkaitan dengan muallaf ini.

1. Seorang siswi masuk Islam kerana cinta dengan seorang siswa, tetapi tidak lama kemudian siswa tersebut mula beralih arah dan mengabaikannya.

2. Seorang siswi cina ingin memeluk Islam kerana Islam menjaga hak-hak wanita, dan berkenalan dengan seorang lelaki Islam dan bercinta dengannya. Namun lelaki tersebut akhirnya memutuskan cinta dengan siswi tersebut atas alasan tertentu.

3. Seorang siswa yang baru memeluk Islam, dan syukur kepada Allah dia telah bertunang dengan seorang siswi muslim.

4. Seorang siswi sanggup berkahwin dengan seorang muallaf luar negara untuk mengajarkannya tentang Islam.

Seimbas lalu kes-kes yang ada, persatuan mahasiswa Islam kampus atau kelab-kelab Islam kampus perlu memberi perhatian dan menjaga muallaf atau sesiapa sahaja yang baru nak berjinak-jinak dengan Islam. Sehinggakan hal perkahwinannya kita perlu aturkan. Agar mereka sentiasa terjaga dan penghayatan Islam mereka dapat berlangsung secara berterusan.

Banyak kes-kes murtad yang berlaku adalah dikalangan saudara baru (muallaf) kerana tiada follow up. Ada di kalangan kita yang beriya-iya mengislamkan seseorang, kemudian membiarkannya terkontang-kanting dan merangkak-rangkak dan akhirnya kembali semula kepada agama asal atau masuk agama lain.

Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk baitul da’wah. Dan, saya amat menyanjungi keberanian mereka atas dasar tanggungjawab dan amanah untuk Islam.


*Penulisan ini adalah sekadar pandangan dan perkongsian minda serta renungan, bukanlah sebagai rujukan.

Bertudung atau Berfesyen?


Bertudung atau Berfesyen? Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki. Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak.

Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia. Menyentuh berkenaan pakaian wanita, Alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat. Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan surat khabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan mahramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.




Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung? Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki. Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan mahramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya. Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan.

Sekian, wassalam.



(Click picture to enlarge)





*Sumber : Rakan Masjid blogger

Panduan Mengkhusyukkan Sembahyang



  1. Memakai pakaian yang bersih dan suci lagi kemas serta bau-bauan yang diharuskan dan sentiasa sembahyang di awal waktu kecuali jika ada sesuatu majlis atau keuzuran
  2. Tidak memandang ke kiri atau ke kanan sebaliknya terus memandang ke tempat sujud
  3. Menyemaikan di dalam hati perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang Maha Melihat setiap gerak-geri kita
  4. Menumpukkan pandangan ke tempat sujud dan tidak banyak menggerakkan anggota badan dalam sembahyang
  5. Membanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin
  6. Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan atau persekitaran sembahyang
  7. Cuba memahami segala isi bacaan dalam sembahyang termasuk ayat Al Quran, zikir dan tasbih
  8. Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air merata pada semua bahagian anggota yang wajib dan membaca doa apabila air melalui di tiap-tiap anggota tersebut
  9. Membaca surah An-Nas, selawat ke atas Rasulullah SAW, istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan sebelum takbir
  10. Tidak menahan diri dari membuang air kecil atau air besar sebelum sembahyang sebaliknya hendaklah ditunaikan hajat itu
  11. Menjaga makan dan minum dan memastikan sumbernya dari yang bersih lagi halal serta menjauhi makanan yang haram dan syubahat
  12. Memastikan di bahagian hadapan tempat sujud tidak ada gambar yang boleh menarik pandangan yang menyebabkan fikiran dan hati terganggu
  13. Banyak mengingati mati dan menganggap sembahyang yang dilakukan itu adalah sembahyang yang terakhir dalam hidupnya
  14. Menyedari hakikat yang ianya sedang berhadapan dengan Allah yang Maha Agung dan Maha Mengetahui akan segala rahsia hambanya
  15. Memusatkan seluruh ingatan dan tumpuan pada sembahyang serta melambatkan bacaan tasbih

Khamis, 16 April 2009

Munajat Perdana

Alhamdulillah, ana dan para sahabat yang lain selamat melakukan solat hajat serta qiamullail sempena peperiksaan akhir yang bakal ditempuhi tidak lama lagi. Agak mengejutkan bagi ana apabila melihat Masjid UTHM penuh dibanjiri jemaah yang hadir untuk mendapat kan Keredhaan Allah S.W.T bagi dari segi muslimin dan muslimatnya.

Namun satu rasa kecewa menyelubungi diri ini saat bertolak ke program qiamullai kelmarin kerana tidak seramai seperti pada solat hajatnya. Kasihan ana pada ajk kelab Iqra' dan MPP yang bertungkus-lumus untuk kecermelangan mahasiswa dan mahasiswi melalui program ini. Nasib baik jugaklah tak banyak pembaziran yang berlaku kalau tidak tak tahu nak cakap ape.

Ana berdoa semoga dibukakan pintu hati kita semua untuk menyambut seruan Illahi kerana hidup ini hanya sementara entah esok lusa dan mungkin sekarang ni saat ana menulis blog ade yang telah dipanggil kembali ke Rahmatullah...

Wallahualam

Ahad, 12 April 2009

Konvensyen Al-Quran di UiTM Shah Alam







Alhamdulillah, kami dipilih oleh Allah untuk mendapatkan sedikit ilmu dikala kesibukan insan lain. Kami bermohon padaMU Ya Allah agar diikhlaskan hati, diteguhkan diri dalam mencari keredhaanMU.



Bila kau memandang segalanya dari Allah,
Yang mencipta segalanya, yang menimpakan ujian,
Yang menjadikan sakit hatimu,




Yang membuatkan keinginan mu terhalang,
Serta menyusahkan hidupmu...
Pasti Dia akan damaikan hatimu,
Kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya sia-sia...



Bukan Allah tidak tahu deritamu,
Tapi itulah yang Dia mahu kerana,
Dia tahu hatimu lunak dan mudah diikat supaya...
Dirimu tidak tersungkur dalam lembah kehinaan yang nyata.



Konvensyen Al-Quran yang berlansung di Universiti Teknologi Mara (UiTM Shah Alam) pada 11-12 April 2009 anjuran Persatuan Bahasa Arab UiTM Shah Alam dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat (MUAFAKAT) dan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU). Penyertaan dari UTHM melibatkan 8 orang muslimin dan 21 orang muslimat yang terdiri dari aktivis-aktivis mahasiswa Kelab Iqra' dan MPP.



Walaupun kurang mendapat sambutan namun diharapkan input yang diperoleh dapat mempersediakan diriku untuk program anjuran kelab iqra' nanti yang berkaitan dengan "perbezaan antara Al-quran dan Bible". Diri ini semakin teruja taktala mendengarkan perkhabaran yang mengejutkan dri presiden ki sendiri bahawa adanya seorang pelajar perempuan dari UTHM telah murtad kerana bermain dengan satu pekara iaitu "cinta", Nauzubillah......

Kurang apakah agama bawaan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W sehingga begitu sekali kesudahannya. Teruskan perjuanganmu Hadi sesunguhnya kami jamaah kelab Iqra' mendukung perjuanganmu hingga akhir hayat.....

Ahad, 5 April 2009

LEMAHNYE DIRIKU.....

Lemahnya diri ini
Baru sikit Allah mengujiSudah rebah tak mampu berdiri
Lemahnya diri ini
Baru saja bayu dunia menyapa pipi
Sudah melayang tak sedarkan diri
Lemahnya diri ini
Baru sekelumit keindahan wajah diberi
Sudah mula lupa diri
Lemahnya diri ini
Baru sikit kejayaan diberi
Sudah lupa siapa yang beri
Lemahnya diri ini
Baru sikit buat kebaikan
Riak dan ujub bersorak riang
Lemahnya diri iniBila suatu kebajikan dimulakan
Tak berdaya nak teruskan
Tiada istiqamah dalam amalan
Lemahnya diri ini
Baru diuji dengan seorang lelaki/wanita
Iman sudah bisu menyepi
Nafsu pula mengawal diri
Lemahnya diri ini
Jalan dakwah kata nak tempuhi
Baru saja melangkah kaki
Beberapa tapak sudah berhenti
Lemahnya diri ini Nikmat anugerah
IlahiBiar sudah tak terhitung lagi
Tapi masih lupa mensyukuri
Lemahnya diri ini
Asyik lagha dengan urusan duniawi
Tak pernah khuatir amalan diterima
Atau dipalingLemahnya diri ini
Bagaimana nak sahut seruan jihad?
Baru sikit dilukai
Sudah menangis meratapi
Lemahnya diri ini
Lupa matlamat lupa syari’at
Terkejar-kejar yang tak pasti
Leka dibuai syaitan terlaknat
Lemahnya diri ini
Asyik ketawa tak kering gusi
Lupa menangis mengingat MATI…