Khamis, 21 Mei 2009

Permusuhan Umatku di Akhir Zaman

Allah S.W.T menolak 1 daripada 3 doa Rasulullah S.A.W.

'Amir bin Said daripada bapanya berkata bahawa :

" Suatu hari Rasulullah S.A.W telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah S.A.W sampai di masjid Bani Mu'awiyah lalu beliau masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah S.A.W. Kemudian Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah S.W.T. Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah S.A.W pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud :

" Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T tiga perkara, dalam tiga perkara itu Allah S.W.T hanya memperkenankan dua perkara sahaja dan satu lagi ditolak.

1. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya ia tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan.Permohonanku ini diperkenankan oleh Allah S.W.T.

2. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh s.a). Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah S.W.T.

3. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam).

Tetapi permohonanku telah tidak diperkenankan (telah ditolak).

Saudaraku,

apa yang kita lihat pada hari ini ialah pergaduhan semasa negara Islam sendiri,
hari ini orang Islam bergaduh sesama sendiri,
orang kafir bertepuk tangan dari belakang.
~~@>---<@~~
Apakah ini yang ingin kita lihat? Apakah tindakan kita?Tidakkah kita ingin Islam kembali gemilang seperti dahulu?Bangkitlah wahai saudaraku, tegakkan Islam kembali megah, itu amanahmu!Yakinlah dengan janji Allah S.W.T.

Nasib Pencacai Ashabul Ukhdud

“Bawa budak itu ke puncak gunung. Tiba di sana, kamu ugut dia. Jika dia mengalah dan meninggalkan kepercayaannya, maka biarkan dia. Tetapi andai dia berdegil, campakkan sahaja budak itu dari puncak gunung ke bawah!” kata raja yang zalim itu kepada orang-orangnya.
Di puncak gunung, keadaan menjadi sangat genting. Orang-orang suruhan raja yang zalim itu sudah bersedia untuk melaksanakan arahan.
“Ya Allah, percukupkan aku daripada kejahatan mereka dengan apa-apa sahaja cara yang Engkau kehendaki!” doa si anak muda itu.
Gunung bergegar.
Lantai bumi bergoncang.
Seluruh orang suruhan raja yang zalim itu jatuh dari puncak yang tinggi itu. Mati terbunuh dengan cara kerja Allah yang tidak mereka jangkakan.
Budak muda yang beriman itu ada peluang untuk melarikan diri. Dia sendirian di puncak gunung, menyaksikan kejadian yang dahsyat itu. Tetapi perjuangannya belum selesai. Dia pulang ke istana, mencabar raja yang zalim itu. Ada seribu satu hikmah daripada pilihan budak muda itu.
Setibanya dia di istana, raja amat terkejut.
“Apa yang orang-orang kamu sudah buat!” herdik raja kepada budak itu.
Orang kamu?
Orang aku?
Ada kekeliruan di situ!
PENGAJARAN
Cerita di atas adalah petikan daripada kisah anak muda dan Ashab al-Ukhdud di kota Najran. Ia dikisahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam Surah al-Buruj, dan diperincikan oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam di dalam sepotong hadith yang panjang di dalam Sahih Muslim.
Kisah itu penuh iktibar.
Tetapi salah satu kejutan besarnya ialah, tindak tanduk raja pemerintah yang zalim itu. Pelbagai pendedahan dilakukan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang isi perut dan benak hati raja yang zalim itu, agar kita meneladaninya sebagai petunjuk sepanjang zaman.
Lucu sekali, raja itu ramai orang suruhannya. Diarahkan mereka agar mengheret budak itu ke puncak gunung dan kemudiannya ke tengah lautan untuk menghapuskan kebenaran. Tetapi tatkala orang-orang suruhannya gagal melaksanakan misi itu, sikap raja terhadap orang-orangnya terus berubah.
Kata raja itu (seperti yang disebut di dalam hadith):
“Apa yang orang-orang kamu telah buat?”
Tidakkah ganjil, raja itu menisbahkan orang-orang suruhannya yang gagal itu kepada budak yang dimusuhinya?
Demikianlah para Ulama’ menjelaskan, bahawa itu adalah sikap pemerintah yang zalim. Ketika dia mahu menggunakan orang-orangnya, pelbagai perkara dibuat untuk membina kesetiaan. Tetapi orang suruhan yang setia itu, tatkala khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi, dibuang begitu sahaja tanpa sebarang erti.
Inilah pesanan Allah dan Rasul buat sekalian pencacai yang memperhambakan diri kepada manusia zalim dan kezalimannya, yang sanggup bermati-matian melaksanakan kerja-kerja kotor majikan yang menggajikannya dengan sekelumit habuan dunia, kalian hanyalah tebu-tebu yang habis madu sepah dibuang.
Andai masih ada ruang dirimu diselamatkan…

Ujian Itu Rahsia Allah S.W.T.

Bismillahirahmaniraheem..
Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama. Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri,sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri,ujian juga dapat mematangkan kita.
Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya,mungkin ada sahabat-sahabat kita @ saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.
Bukankah,Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.

Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.
Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya. Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.
Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.
Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.
Jika rasa tidak kuat, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup berseorangan.

Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!

Kesan Zikir Terhadap Otak

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas. Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.
Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran. Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. Satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks. Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya. Oleh itu, saudara-saudaraku se-Islam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

Isnin, 4 Mei 2009

Jongkang-jongkit Study & Dakwah

“Lia, jomlah pergi usrah Lia, jomlah berdakwah Lia, ummah semakin koyak Lia, jomlah kita bangkit mengubah segalanya.”

“ Aku tidak mahu. Aku kena study! Markah semester lepas dah cukup teruk. Gara-gara dakwah, tarbiah dan program! Aku menyesal mengikuti semua itu. Bosan!! Dakwah bukan je plainly cerita rububiyah ketuhanan,tapi banyak lagi skopnya. Bukan ke islam tu syumul? Kalau nak berjaya, kena study. Waktu study, studylah! Esok kalau dah berjaya, aku buatlah kerja dakwah tu. Kalau aku buat kerja dakwah, aku gagal dalam pelajaranku, kan nanti aku menutup mata orang lain terhadap Islam..”

“ Lia, dakwah dan pelajaran bukan macam jongkang jongkit ...”

“Jongkang jongkit? Apa kau merepek ni? “

“Ya, dakwah dan pelajaran BUKAN macam jongkang jongkit. Bila dakwah di atas, pelajaran di bawah Bila pelajaran di atas, dakwah di bawah. Tu bukan dakwah namanya. Dan tu bukan belajar namanya!”

“ Habis tu? Hmm, dakwah dan pelajaran kena berkadar terus. Tak boleh inversely proportional.”

“ Apa maksud kau?”

“ Orang yang melakukan kerja dakwah dengan ikhlas akan menemukan Allah dalam pelajarannya”

“Aku tidak faham!”

“ Tak pe, aku terangkan. Macam gini, bila dah berdakwah tu, rasa senang je nak study. Bila belajar tentang mitokondria misalnya, boleh bayangkan betapa hebatnya Allah ciptakan mitokondria tu. Bila belajar tentang algebra, terasa kerdilnya diri. Bila belajar tentang Hukum Boyle, terasa akrab dengan Pencipta. Kenapa? Sebab diri tahu bahawa hukum-hukum tersebut adalah hukum Allah. Ilmu-ilmu tersebut adalah milik Allah. Rasa senang hati nak terima ilmu. Kalau orang lain study 1 jam, dia hanya perlu study 10 minit sahaja. Sebab apa? Sebab ada keberkatan masa dalam studynya itu”.

“ Aku tak pernah rasa semua itu. Lain tuh! Selama ni kau nak cakap yang aku ikut program tarbiah dan dakwah tu tak ikhlas?”

“ Tak, itu bukan maksud aku! Cuma kena checklah sikit hati tu. Waktu buat kerja dakwah tu, ada tak berlaku tarik tali dengan Allah.

“ Apa maksud kau tarik tali dengan Allah?”

“ Ok, aku berikan contoh. Misalnya waktu buat kerja dakwah tu, terdetik tak kat hati, banyak lagi yang tidak habis belajar. Terdetik tak kat hati, assignment banyak lagi! Itulah maksudnya tarik tali dengan Allah. Ada keraguan dalam hati. Seolah-olah tidak yakin dengan janji Allah.

Siapa yang menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongnya

Kita melakukan jual beli dengan Allah, tapi kita tidak bayar lagi. Kita berdoa, tapi tak de kesungguhan dalam doa kita. Kita berdakwah, tapi hati kita tiada dengan Allah.

“ Lia dah faham. Lia kena banyak muhasabah. Lia dah study dari tadi, tapi tak masuk-masuk Lia tahu itu maksudnya peringatan dari Allah Lia yang tahu hukum berdakwah tapi tidak mengerjakan kerja tersebut”

“Lia, sahabatku, seorang ibu pernah mengatakan, aku ingin dakwah terlihat dalam setiap perbuatanku. Setiap kali aku bergaul dengan jiranku, aku ingin mereka merasakan kemanisan iman dan Islam. Setiap kali jiranku melihat kebahagian rumahtanggaku, aku ingin mereka merasakan keindahan Islam. Lia, itulah yang inginku kubentuk dalam diriku. Aku ingin setiap perbuatanku menjadi manifestasi dakwah itu sendiri. Pelajaranku, hubunganku dengan keluarga dan sahabat, segalanya adalah dakwah. Moga kita bersama dalam usaha merealisasikannya. Lia, aku ingin berkongsi dua kisah, Pertama, mengenai kisah Assyahid Imam Hassan AlBanna dan kedua kisah sahabatku di Indonesia. Moga kedua-dua kisah ini dapat kita renungkan bersama. Menjadi motivasi buat kita untuk terus berada dalam mandala ini. Lia, kau pastinya arif mengenai Assyahid Imam Hassan AlBanna bukan? Dakwahnya menyinari hati umat manusia di saat itu. Dia berdakwah sehingga ke kawasan perkampungan di gunung-gunung yang tinggi. Semua manusia mengenalinya. Tanyakan sahaja di jalanan di saat itu, kenalkah kamu dengan Assyahid Imam Hassan Al Banna, pasti semua mengenalinya kerana kerja kerasnya di dalam perjuangan dakwah . Lia, aku akui sememangnya untuk berjaya dalam pelajaran, kita kena berusaha. Itu Sunnatullah. Tapi Lia, kemenangan Islam takkan tertegak dengan kata-kata, dengan mimpi sahaja. Untuk memastikan kejayaan dakwah, kita juga kena berusaha. Itu juga adalah Sunnatullah. Kemenangan Islam memerlukan pengorbanan dari pengikutnya. Lia, aku kongsikan pembacaanku dalam buku Detik-detik Hidupku karangan Assyahid Imam Hassan Al Banna; itulah rahsia kejayaan seorang Mukmin. Seorang sahabat di Indonesia pernah bercerita mengenai pelajarannya. Alhamdulillah, dia memperolehi yang terbaik. Dia ingin mempertahankan prestasi terbaik untuk Allah, agama Allah. Di sudut lainnya, dia tidak suka mengejar dunia, bersaing untuk berasa hebat. Dia hanya ingin memberikan yang terbaik sebagai hamba Allah. Dahulu dia bukan begitu. Dia pernah kecundang.

Dia pernah bertanya kepada Allah ;

Ya Allah, kenapa engkau mentakdirkan prestasi yang baik buat temanku? Apakah temanku itu punya alasan yang kuat sehingga Engkau menolongnya? Aku mempunyai mimpi yang besar untuk menegakkan agamaMu melalui pergerakan dakwah. Maka aku mohon bahawa aku harus berjaya!

Lalu Allah memberitahu dirinya melalui suatu kisah sahabat yang dijamin masuk syurga, padahal seharian ibadahnya sama saja seperti sahabat yang lain. Dan ketika ditanya prinsip hidupnya, sahabat itu menjawab;

‘Aku tak suka membanding-bandingkan apa yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya. Aku yakin Allah Maha Baik dan menjamin kebaikan untukku dalam situasi sulit atau lapang. Aku akan tetap redha kepada Allah dalam situasi apapun. Aku akan tetap bersaksi bahawa Allah adalah Robb yang Maha Esa, meskipun gunung-gunung harta itu milikku atau aku tak punya harta sedikit pun.’

Lia, saya teringat email yang pernah saya terima dari seorang kawan. Tulisannya benar-benar terkesan di hati saya. Dia bercerita tentang seorang wanita yang terkena penyakit disebabkan poliovirus semenjak kecil. Kisah ini kisah benar. Saya namakan wanita ini Aya. Aya memerlukan tongkat untuk berjalan. Aya tidak berapa cantik, tidak slim dan tidak tinggi. Satu sahaja keinginan Aya, dia ingin sesiapa sahaja yang melihatnya mengucapkan Subhanallah. Keinginan Aya tercapai. Bila Aya belajar di sekolah menengah dan berjaya, manusia yang ditemuinya mengucapkan Subahanallah. Bila Aya berjaya masuk ke universiti, sekali lagi orang ramai mengucapkan Subhanallah. Bila Aya menyudahkan pelajarannya, sekali lagi manusia mengucapkan Subhanallah. Dan sekali lagi orang ramai mengucapkan Subhanallah apabila Aya mengahwini seorang lelaki yang kacak dan beriman. Orang ramai tertanya-tanya, apa yang mampu Aya berikan kepada suaminya. Takdir Allah menentukan yang sebaiknya. Allah mengurniakan Aya dan suaminya 3 orang anak yang comel dan sempurna. Sekali lagi orang ramai mengucapkan Subhanallah. Dengan kecacatanya, Aya masih mampu membuat manusia mengingati Allah. Sejarah menunjukkan kita bahawa rupa paras bukan persoalan utama. Ingat lagi tentang Abdullah bin Ummi Makhtum? Dia sahabat nabi yang buta. Dia mahu membawa panji bendera Islam. Katanya, buta menyebabkan dia tidak takut kerana dia tidak akan dapat melihat bilangan musuh. Akhirnya dia syahid. Mereka yang menemui mayatnya tidak dapat mengecamnya kerana terlalu banyak luka parah yang dialaminya. Subhanallah. Pasti Lia ingat lagi Assyahid Sheikh Ahmad Yassin. Dia cacat. Duduk di atas kerusi roda. Tapi apa yang telah dia lakukan? HAMAS berdiri dengan izzah. Musuh menggeruninya. Lia, kita sempurna. Ayuh lakukan sesuatu untuk Islam. Ayuh berada dalam saf perjuangan. Umat Islam harus meningkat. Hidup ini tiada erti tanpa perjuangan. Perjuangan yang sebenar pasti meninggalkan parut dan memerlukan pengorbanan. Kata Saidina Umar,

Tegakkan Islam dalam dirimu,
nescaya akan tertegak Islam di bumimu


Mencari Teman Ke Syurga

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Teman yang baik adalah anugerah yang tidak ternilai daripada Allah. Teman yang baik penunjuk jalan, penguat langkah dan azam, pendamping yang akan selalu mengingatkan untuk bersungguh-sungguh berusaha membuat bekal negeri abadi.

Manusia yang lemah seperti kita tentunya memerlukan teman, untuk berkongsi suka dan duka, untuk mengingatkan kala terleka, untuk menemani kala beramal ibadat agar lebih bersungguh-sungguh, demi bersama meraih syurgaNya.

Seorang Nabi Allah, Nabi Musa AS pun memerlukan teman lantas baginda berdoa kepada Allah agar mengurniakan teman penguat langkah, teman ke syurga."Dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, iaitu (Harun), saudaraku, teguhkanlah kekuatanku dengan (adanya) dia, dan jadikanlah dia teman dalam urusanku, agar kami banyak bertasbih kepadaMu, dan banyak mengingatiMu, sesungguhnya Allah Maha Melihat Keadaan kami" (20:29-35)

Kisah Nabi Musa memohon teman dari Allah untuk membantu menguatkannya membuktikan betapa kita sebagai manusia sangat memerlukan teman untuk menemani dalam urusan hidup seharian dan juga untuk sama-sama beribadat kepada Allah. Bukankah seorang anak Adam itu akan lebih bersungguh-sungguh mengejar redhaNya dan meningkatkan segala amal apabila mempunyai teman yang seiring dan sejalan?

Saidina Umar mengatakan, "Tiada satu kebaikan pun yang dianugerahkan kepada seorang hamba sesudah Islam, selain saudaranya yang soleh. Apabila seseorang di antara kamu merasakan sentuhan kasih sayang dari saudaranya, maka hendaklah ia berpegang kepadanya" Malah, Saidina Umar meminta kita 'berpegang kepadanya', iaitu bermakna tidak melepaskan dan menghargai teman tersebut kerana kita sebenarnya dianugerahkan kebaikan yang sangat besar apabila dikurniakan teman yang soleh.

Namun, berusahakah kita untuk menjadi teman ke syurga kala mencari teman ke syurga? Jadikah kita sahabat yang baik yang sentiasa mengajak teman kita kepada kebaikan, yang sentiasa mengingatkan teman kita akan janji-janji Allah, yang menunjukkan kepada teman kita qudwah yang baik? MENJADI TEMAN KE SYURGA

Menjadi teman ke syurga dan mencari teman ke syurga, segalanya hanya berlaku apabila asasnya didasari taqwa yang kuat. Taqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dengan ketaqwaan yang layak bagiNya."Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepadaNya" (3:102) Ayat ini mengisyaratkan kepada kita untuk membiarkan hati kita berusaha keras mencapai taqwa menurut batas kemampuan yang ada pada dirinya.

Setiap kali ia mendekat kepada Allah dengan ketaqwaan maka akan terbukalah hatinya untuk berusaha mencapai kedudukan yang lebih tinggi dari apa yang telah dicapainya, dan merindukan darjat yang ada di atas apa yang telah diraihnya lalu selalu memandang ke arah kedudukan yang lebih tinggi lagi.Muhammad Ahmad Rasyid mengatakan "ketinggian itu hanya boleh diraih dengan kelelahan", memberitahu kepada kita bahawa kita perlu berusaha bersungguh-sungguh utk mendapat darjat ketinggian taqwa di sisi Allah. Apa kaitan taqwa dan teman ke syurga?

Taqwa dalam diri sahaja yang akan mendorong seseorang mencari teman ke syurga, menemaninya dalam kehidupan siang harinya, mendampinginya dalam ibadah malamnya. Dan seseorang yang benar-benar meletakkan taqwanya kepada Allah sahaja akan bersungguh-sungguh (sehingga kelelahan tetapi) terus ingin meningkatkan darjatnya di sisi Allah dan dia benar-benar memerlukan teman untuk menguatkan urusan siang dan malamnya, sebagai hamba, dan khalifah.

Ciri taqwa ini akan menjadikan dirinya sendiri adalah seorang teman ke syurga, lantas dia layak untuk mendapat teman ke syurga yang hanya didapati melalui anugerah dari Allah. Teman yang akan sentiasa mengingatkan, tatkala kelelahan, akan janji yang menjadi asas perhubungan ini, asasnya hanya kerana Allah, lantas itu kita menjadi "menjadi teman ke syurga".


Kita bertemu atas kesungguhan dan ikrar kita pada jalan Allah, dan perpisahan kita pun hanyalah kerana Allah juga kerana walau apapun matlamat kita hanya satu, meraih syurgaNya. "Didiklah diri kamu kepada cinta pada Allah, bermula pada diri kamu. Tingkatkan penghayatan diri kamu pada cinta pada Allah, berusaha membaiki dan meningkatkan diri kamu menjadi hamba Allah yang lebih taat, nescaya kamu akan menjadi teman ke syurga dan Allah akan mengurniakanmu teman ke syurga."

Marilah sejenak kita mengambil pengajaran dari Hadith Qudsi, dari Allah, Pencipta dan Pemilik kasih sayang dan cinta, yang menitipkan kasih sayang antara hati-hati, yang mengekalkan ikatan antaranya, yang memperteguhkan janji ikrar mereka untuk menjadi 'teman ke syurga', mencari redhaNya yang Esa, Pemberi Segalanya, Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

"CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling bersilaturahim kerana Aku, CintaKu mesti mesti bagi orang yang saling menasihati kerana AKu, CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku, CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling memberi kerana Aku" (Hadith Qudsi) Lihatlah betapa Allah menjanjikan cintaNya yang Maha Agung kepada "teman ke syurga". Besarnya kemuliaan Allah janjikan kepada mereka yang mendasari perhubungan kerana sama-sama mahu mengejar redhaNya, menjadi teman ke syurga lantas dikurniakan teman ke syurga.

Ayuh, perbaiki diri !