Teringat zaman kecil-kecil dahulu…
Bila tiba musim main guli, semua ramai-ramai pakat main guli. Aku akan pulun* mengajak ayah pergi ke kedai untuk membeli guli untuk dipertaruhkan di medan bulat atas tanah. Sasaran kutuju, guli-guli kuperolehi.
Setelah beberapa bulan, musim guli pun tamat. Guli-guli yang beraneka warna itu aku letak bersepah-sepah. Akhirnya emak juga yang menyimpannya untuk aku kerana dia tahu, pada tahun depan musim guli akan tiba lagi dan aku akan kembali mencari guli-guliku untuk dipertaruhkan.
Masih teringat zaman kecil-kecil dahulu...
Bila tiba musim terjun sungai, semua pakat ramai-ramai terjun sungai. Aku akan pulun mencari seluar pendek dan mengajak abang-abang dan kawan-kawanku ke sungai. Emak kata bahaya tetapi aku pergi juga. Zaman kanak-kanak, cabaranlah yang paling aku suka. Terjun sungai pelbagai gaya, bila dah besar nak berenang pun masih tidak kena gaya, terkuak-kuak dalam air mengapung haramnya tidak.
Setelah beberapa bulan, musim terjun sungai pun tamat. Seluar pendek kucampak entah kemana. Akhirnya emak juga yang menyimpannya untuk aku kerana dia tahu, pada tahun depan seluar itu akan aku cari untuk bermandi ria di sungai lagi.
Masih teringat zaman kecil-kecil dahulu...
Bila tiba musim layang-layang, semua pakat main layang-layang. Aku akan pulun mengajak ayah pergi membeli layang-layang Doraemon kesukaanku yang berharga 50 sen. Bila pulang, benang aku simpul sebagai layar, tali aku lempar sebagai pelayang. Layang-layang terbang tinggi, aku pun gembira sakan. Bila layang-layang tersangkut di pokok, selipar aku lempar tinggi ke sasaran namun hampa. Layang-layang seakan enggan kembali menjejak tanah. Mujur selipar tidak tersangkut. Hampa... aku pulang ke rumah, menyuruh abang membuat layang-layang daripada surat khabar. Setelah siap, aku terbangkannya ke langit dan kembali gembira bermain layang-layang.
Setelah beberapa bulan, musin daun-daun getah dan angin pun tamat menandakan musim layang-layang pun juga tamat. Benang aku lempar jauh, layang-layang aku biar tersangkut di atas pokok. Akhirnya emak juga yang menyimpan semuanya untuk aku kerana dia tahu, pada tahun depan musim itu akan berkunjung lagi dan aku pasti tercari-cari sang benang dan layang-layang.
Masih teringat zaman kecil-kecil dahulu...
Bila tiba musim main khemah-khemah di kebun getah belakang taman, semua pakat berkhemah di dalam kebun getah. Aku akan pulun mengajak ayah membeli khemah dan mainan untuk dibawa ke kebun getah di belakang rumah. Bersama teman, kami membina khemah dan bermalam di dalamnya. Bila lapar kami pulang ke rumah membawa bekal makanan ke khemah. Di khemah kami main kereta mainan, main biji getah dan dengan nakalnya membuang air kecil di dalam bekas menadah getah penoreh getah sehingga dikejar satu taman dengan lastik getah.
Namun apabila musim main khemah surut, khemahku entah terperosok di ceruk mana. Akhirnya emak juga yang menyimpannya untuk aku kerana dia tahu, pada tahun depan musim khemah akan tiba lagi dan aku pasti kepingin*kan sebuah khemah.
Masih segar ingatanku empat bulan yang lalu…
Saat Palestin dibedil Israel, demonstrasi memenuhi jalanan, amarah memuncak ke langit, doa’ berutus tidak putus-putus ke Sidratul Muntaha, tabung bergolek-golek mencari derma. Aku suka. Aku gembira melihat suasana kaum muslimin. Aku lancarkan program mencari derma, aku layarkan kertas-kertas bernota sengsara, aku membidas musuh-musuh bertulang dusta. Aku bersyukur, aku redha, aku gembira.
Masih segar dalam ingatanku sepurnama yang lalu...
Demonstrasi dianjur oleh mereka* lagi, aku sedih namun aku masih juga gembira. Hari mendung menyejuk sukma, menanti rakan seperjuangan dengan penuh redha. Masih ada yang datang menjelma walau tidak seramai mana tetapi aku gembira, aku redha. Kata-kata semangat masih bergema di jalan raya walau tidak lagi mampu menggegar sukma namun masih mampu menyinar walau sezarah cahaya kebenaran bagi yang buta.
Masih segar ingatanku lewat tengah hari yang baru sahaja berlalu...
Hujan gerimis menyejuk jiwa, menanti rakan seperjuangan yang tidak kunjung tiba. Aku menghitung detik untuk sama-sama melaungkan kata-kata penuh makna, membebaskan Palestin daripada musuh durjana, tetapi aku hampa, hampa kerana penantianku sia-sia. Rakan-rakanku entah kemana. Yang datang hanya sekerat cuma. Kini, tiadalah lagi laungan gempak gempita, yang berjalan cuma sepi tidak bernada. Lagak seperti demonstrasi aman katanya, menuju ke Tesco tidak bermaya kerana tiada teman di sisi untuk bersama-sama, melaung semangat pembangkit jiwa.
Musim Palestin makin menghampiri waktu surutnya. Namun, aku bukan lagi kanak-kanak hidup bersulam gembira. Aku dewasa beramanahkan Islam yang mulia. Islam dan Palestin bukan bermusim jihadnya tetapi perlu disemat dalam jiwa supaya sentiasa hidup akan semangat perjuangannya. Emak tiada di sini, tiada di sisi untuk mengutip sisa-sisa semangatku tetapi aku sendiri harus menyusuri jalan-NYA. Aku tidak boleh lagi mengikut musim seperti musim kanak-kanakku bermain guli, bermain layang-layang, terjun sungai dan bermain khemah.
Perjuangan ISLAM tiada surut musimnya seperti permainan kanak-kanak dahulu. Ia sentiasa membara, sentiasa bergelora.
Namun kini aku redha.
Aku lihat tabung derma di sisi mejaku, kosong nilainya. Emak tiada disini untuk menyimpannya buatku jika musim Palestin tiba lagi tahun hadapan. Aku sendiri harus kejap menyimpannya sendiri, menggunakannya setiap masa supaya aku tidak lagi akan lupa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan